Kes harian naik semula, 97.2 peratus individu dewasa lengkap divaksin

Jangkitan Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi naik lagi kepada 5,446 kes, berbanding 5,020 kes yang dilaporkan dalam tempoh sama semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah terbaharu itu menjadikan kumulatif positif Covid-19 sebanyak 2,678,465 kes, dengan sehingga semalam seramai 2,581,395 pesakit telah sembuh.

Sehingga semalam, sebanyak 60,878 kes aktif dilaporkan, dengan 49,644 pesakit kini menjalani kuarantin di rumah; 5,996 ditempatkan di PKRC; 4,810 dimasukkan ke hospital; dan 428 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU), termasuk 237 yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Beliau juga memaklumkan kajian daripada 840,000 individu berusia 50 tahun ke atas menunjukkan kes kematian membabitkan mereka yang telah menerima dos penggalak atau dos ketiga, berkurangan 90 peratus, berbanding mereka yang tidak menerimanya.

Sementara itu, lebih 54.47 juta dos vaksin Covid-19 telah diberikan sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan 24 Februari lalu sehingga semalam.

Daripada jumlah itu, seramai 25,476,738 individu atau 78.0 peratus telah lengkap divaksinasi, manakala 79.3 peratus atau 25,904,280 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos daripada vaksin dua dos atau vaksin dos tunggal.

Jumlah kumulatif pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 kepada individu yang layak, terutama warga emas berusia 60 tahun dan ke atas serta petugas barisan hadapan, kini mencecah 3,281,238 sejak dilancarkan pada 13 Oktober lalu.

Bagi tempoh 24 Februari lalu hingga semalam juga sebanyak 97.2 peratus atau 22,746,838 populasi dewasa telah lengkap divaksinasi, manakala 23,067,954 atau 98.6 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Sementara itu, sejak 8 September lalu hingga semalam, seramai 2,729,900 atau 86.7 peratus remaja berusia 12 hingga 17 tahun melengkapkan suntikan vaksinasi masing-masing, manakala 90.1 peratus atau 2,836,326 remaja lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

BERITA BERKAIT
POPULAR