
Pecahan kes Covid-19 mengikut negeri-negeri pada 23 Mac 2022.
Penularan virus Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam semalam, (23 Mac 2022), kekal meningkat tatkala negara semakin hampir memulakan fasa peralihan daripada pandemik kepada endemik, bermula 1 April ini.
Dalam tempoh itu, 22,491 jangkitan harian baharu dilaporkan di seluruh negara, meningkat 1,008 kes, berbanding 21,483 pada Selasa, menurut data daripada sumber kesihatan.
Jumlah jangkitan baharu itu menjadikan kumulatif positif meningkat kepada 4,054,926 kes. Empat kes pertama positif Covid-19 dikesan di negara ini pada 25 Januari 2020.
Dalam tempoh sama 3,771,463 pesakit telah sembuh. Sehingga semalam, 248,864 kes aktif, dan 34,600 kematian dilaporkan.
Daripada jumlah kes aktif itu, 241,115 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 1,366 ditempatkan di PKRC; 6,051 dimasukkan ke hospital; dan 332 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 189 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.
Data juga menunjukkan jangkitan di Selangor – negeri hotspots Covid-19 di Malaysia – mencecah 10,240 kes, lebih tinggi berbanding Indonesia yang mencatat 6,376 kes di seluruh negara itu.
Angka itu menjadikan kumulatif positif di Selangor setakat ini meningkat kepada 1,118,542 kes, dengan 1,030,631 pesakit telah sembuh, 77,444 kes masih aktif, dan 10,469 kematian.
Sehingga 22 Mac, seramai 4,806,747 atau 94.9 peratus populasi keseluruhan di Selangor telah lengkap divaksinasi, 5,115,602 atau 100.8 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 3,912,773 atau 92.0 peratus individu dewasa menerima dos penggalak.
Sementara itu, data juga menunjukkan tujuh lagi negeri dan Wilayah Persekutuan turut mencatat peningkatan jangkitan harian semalam.
Pulau Pinang mencatat 1,299 kes baharu berbanding 1,295 pada Selasa, diikuti Kedah (1,240 kes baharu, 1,219 Selasa); Perak (1,213 kes baharu, 1,170 Selasa); Negeri Sembilan (1,116 kes baharu, 1,061 Selasa); Johor (1,031 kes baharu, 927 Selasa); Melaka (573 kes baharu, 536 Selasa); dan Putrajaya (69 kes baharu, 65 Selasa).
Sementara itu, sehingga jam 8 pagi ini tiada kemas kini berhubung status Covid-19 dalam laman sesawang CovidNOW kendalian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).