Kes harian hampiri 14,000

Jangkitan harian Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam hingga 12 tengah hari tadi melonjak lagi, tatkala kadar kebolehjangkitan bagi seluruh negara meningkat daripada nilai Rt 1.27 kepada Rt 1.32.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata, sebanyak 13,944 jangkitan baharu dikesan dalam tempoh itu, berbanding 11,034 kes semalam.

Kali terakhir negara mencatat kes harian tertinggi adalah pada 24 September 2021 iaitu sebanyak 14,554 kes.

Jumlah itu menjadikan kumulatif positif sejak wabak Covid-19 melanda negara awal 2020 lalu meningkat kepada 2,939,198 kes.

Sehingga semalam seramai 2,818,650 pesakit telah sembuh, 32,043 kematian dan 74,561 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu seramai 65,566 pesakit menjalani kuarantin di rumah, 4,695 ditempatkan di PKRC; 4,165 dimasukkan ke hospital; dan 135 pesakit dirawat di ICU, dengan 81 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian semalam untuk seluruh negara adalah pada nilai 1.32.

Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan virus iaitu berapa ramai individu boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

Menurut pakar kesihatan, nilai Rt berada pada tahap membimbangkan apabila ia melepasi nilai 1.00 dengan lebih ramai individu berpotensi untuk dijangkiti.

Berdasarkan statistik dikongsi beliau, Perlis dan Sabah mencatat nilai Rt tertinggi iaitu pada 1.54, diikuti Sarawak (1.48); Terengganu (1.36); Kedah (1.32); Putrajaya (1.29); dan Pulau Pinang (1.25).

Johor dan Pahang masing-masing mencatat Rt 1.24; Selangor, Melaka serta Perak (1.23); Kelantan (1.16); Negeri Sembilan (1.12); dan Kuala Lumpur (1.09), manakala Labuan 11 kes.

BERITA BERKAIT
POPULAR