Kes harian di sembilan negeri naik

Sembilan negeri hari ini mencatat peningkatan kes harian dalam tempoh 24 jam hingga 12 tengah hari tadi, dengan Selangor kekal merekodkan angka tertinggi berbanding negeri-negeri lain.

Berdasarkan statistik dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri-Negeri malam ini, Selangor merekodkan 1,563 jangkitan baharu berbanding 1,424 kes semalam, menjadikan kumulatif positif di negeri itu meningkat kepada 819,960 kes.

Daripada jumlah itu, 792,598 pesakit telah sembuh, 10,059 kematian dan 15,740 kes masih aktif, dengan 14,701 pesakit menjalani kuarantin di rumah dan 271 lagi ditempatkan di PKRC.

Pada masa sama seramai 645 pesakit lagi dimasukkan ke hospital dan 23 lagi dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 12 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga semalam, seramai 4,788,589 atau 94.6 peratus populasi di Selangor telah lengkap divaksinasi, manakala 4,853,466 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 3,062,381 atau 54.6 peratus menerima dos penggalak.

Sementara itu, jangkitan baharu di Johor turun di bawah 1,000 apabila mencatat 932 kes hari ini, berbanding 1,084 semalam.

Sabah turut merekodkan peningkatan jangkitan harian apabila mencatat 476 kes hari ini berbanding 446 semalam, diikuti Pahang (330 kes baharu, 274 semalam); dan Melaka (301 kes baharu, 230 semalam).

Perak pula merekodkan peningkatan jangkitan apabila mencatat 218 kes baharu berbanding 172 semalam, diikuti Terengganu (100 kes baharu, 95 semalam); Putrajaya (44 kes baharu, 23 semalam); Perlis (32 kes baharu, 20 semalam); dan Labuan (lima kes baharu, satu semalam).

Sehingga hari ini, negara merekodkan 2,882,060 kumulatif kes positif dengan 2,789,951 pesakit telah sembuh, 31,992 kes kematian dan 60,117 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 52,639 pesakit menjalani kuarantin di rumah; PKRC (4,212); hospital (3,154); dan 112 pesakit dirawat di unit rawatan rapi, dengan 54 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

BERITA BERKAIT
POPULAR