Kes harian di Sarawak melonjak

Jangkitan baharu Covid-19 di Sarawak hari ini melonjak hampir tiga kali ganda berbanding 442 kes yang dilaporkan semalam (28 Februari 2022).

Dalam tempoh itu sebanyak 1,248 kes baharu direkodkan menjadikan kumulatif positif di negeri itu mencecah 261,060 kes, lapor Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak.

Dalam kenyataannya hari ini jawatan kuasa itu memaklumkan tiga daerah mencatat jumlah kes tiga angka iaitu Kuching dengan 430 diikuti Miri (238) dan Sibu (180).

Menurut kenyataan itu, 11 daerah mencatat antara 10 hingga 82 kes baharu manakala 21 daerah lagi merekodkan antara satu hingga sembilan kes.

Sehingga semalam, seramai 253,878 pesakit telah sembuh, 1,627 kes kematian, dan 4,307 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 3,714 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 210 ditempatkan di PKRC; 371 dimasukkan ke hospital; dan 12 dirawat di unit rawatan rapi, dengan lima daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga semalam, seramai 2,138,700 atau 75.7 peratus daripada populasi di Sarawak telah lengkap divaksinasi, manakala 2,319,495 atau 82.1 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Seramai 1,510,506 atau 73.1 peratus daripada individu dewasa pula telah menerima dos penggalak.

BERITA BERKAIT
POPULAR