Kes harian di 12 negeri terus naik: Statistik KP Kesihatan

Dua belas negeri dan Wilayah Persekutuan hari ini merekodkan peningkatan jangkitan harian Covid-19, seiring lonjakan kes positif dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi kepada 10,089 kes, berbanding 9,117 kes semalam.

Menurut statistik yang dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, tiga daripada negeri itu – Selangor, Johor dan Sabah – merekodkan kes empat digit, manakala kes di Perlis, Kelantan, Kuala Lumpur dan Putrajaya, kembali turun.

Selangor kekal merekodkan jangkitan harian tertinggi sebanyak 2,549 kes, berbanding 2,490 semalam, menjadikan kumulatif positif di negeri itu meningkat kepada 826,986 kes, dengan sejak awal 2020 hingga semalam seramai 10,065 pesakit meninggal dunia.

Sementara Sabah pula mencatat 1,285 kes hari ini, berbanding 1,205 semalam, menjadikan kumulatif positif sebanyak 252,930 kes, dengan 2,837 pesakit meninggal dunia.

Johor yang akan berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi juga mencatat peningkatan daripada 901 kes semalam kepada 1,582 hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadual mengadakan mesyuaratnya pada 9 Februari ini bagi menentukan tarikh penamaan calon, undi awal dan hari pengundian, selain menetapkan prosedur operasi standard (SOP) PRN itu.

Negeri itu kini mencatat 265,703 kumulatif kes positif, dengan sehingga semalam seramai 249,092 pesakit telah sembuh, 3,925 kes kematian, dan 11,104 kes masih aktif.

Sehingga semalam seramai 9,876 pesakit diarah menjalani kuarantin di rumah, manakala 613 lagi ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC),

Seramai 600 pesakit Covid-19 iaitu yang dianggap kes teruk dimasukkan ke hospital di seluruh Johor, manakala 15 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 10 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sementara itu, Kedah turut mencatat peningkatan daripada 847 kes semalam kepada 904 hari ini, diikuti Pahang (624 kes baharu, 470 semalam); Pulau Pinang (542 kes baharu, 522 semalam); dan Negeri Sembilan (464 kes baharu, 416 semalam).

Melaka pula merekodkan 457 kes baharu berbanding 395 semalam; diikuti Perak (321 kes baharu, 231 semalam); Terengganu (213 kes baharu, 123 semalam); Sarawak (58 kes baharu, 42 semalam); dan Labuan (23 kes baharu, 15 semalam).

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata daripada 10,089 kes harian yang dilaporkan hari ini, 77 kes atau 0.76 peratus adalah pesakit dalam kategori 3, 4 dan 5, manakala 10,012 kes (99.24 peratus) terdiri daripada pesakit kategori 1 dan 2.

Bersasarkan statistik dikongsi beliau pesakit kategori 1 melibatkan 2,482 kes atau 24.6 peratus; kategori 2 (7,530 kes atau 74.64%); kategori 3 (52 kes atau 0.51%); kategori 4 (17 kes atau 0.17%); dan kategori 5 (lapan kes atau 0.08%).

BERITA BERKAIT
POPULAR