Kes harian di 10 negeri naik, 14 mangsa banjir di PPS positif

Lembah Klang – Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya – kembali menjadi penyumbang tertinggi kepada jumlah keseluruhan kes baharu Covid-19 hari ini sebanyak 2,897 kes, berbanding 2,757 kes semalam.

Dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, Lembah Klang mencatat 904 jangkitan baharu dengan Selangor merekodkan 675 kes baharu, berbanding 565 semalam; diikuti Kuala Lumpur (205 kes baharu, 135 semalam); dan Putrajaya (24 kes baharu, 11 semalam).

Setakat ini, Lembah Klang mencatat 1,003,252 kumulatif kes positif, dengan 973,997 pesakit telah sembuh, 12,614 kes kematian dan 16,641 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, lebih 14,372 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 289 ditempatkan di PKRC; 990 dimasukkan ke hospital; dan 86 dirawat di unit rawatan rapi, dengan 54 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Kebanyakan kes berkaitan Covid-19 di Lembah Klang lebih tertumpu kepada situasi di Selangor, yang kini mencatat 783,754 kumulatif kes positif, dengan sehingga semalam seramai 761,156 pesakit sembuh, 9,927 kematian, dan 12,671 kes aktif.

Daripada jumlah kes aktif di Selangor, lebih 10,891 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 289 ditempatkan di PKRC; 755 dimasukkan ke hospital; dan 61 dirawat di ICU dengan 41 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Bagi negeri dan Wilayah Persekutuan lain pula, Pahang merekodkan 215 kes baharu hari ini berbanding 180 semalam; diikuti Terengganu (190 kes baharu, 172 semalam); dan Sabah (168 kes baharu, 125 semalam).

Melaka pula mencatat 144 kes baharu berbanding 76 kes semalam; diikuti Negeri Sembilan (94 kes baharu, 92 semalam); Perlis (22 kes baharu, 13 semalam); dan Labuan (empat kes baharu, satu semalam).

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan kes Covid-19 di pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir meningkat kepada 14 kes berbanding 11 yang dilaporkan semalam.

Menurutnya sehingga jam 3 petang tadi, daripada 19,099 mangsa banjir di Kelantan, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka, 434 disahkan positif Covid-19.

Sebanyak 14 kes positif Covid-19 dikesan di PPS, manakala jumlah kluster di PPS kekal satu kluster melibatkan 10 kes, katanya.

Beliau juga memaklumkan daripada 2,897 kes harian yang dilaporkan hari ini, 50 kes atau 1.7 peratus melibatkan pesakit kategori 3, 4 dan 5, manakala 2,847 atau 98.3 peratus lagi adalah kategori 1 dan 2.

Sebanyak 192 kes import yang turut membabitkan 14 rakyat asing dikesan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, menjadikan kumulatif positif sebanyak 7,353 kes import.

“2,705 kes lagi yang turut melibatkan 128 warganegara asing adalah penularan tempatan.

“Sehingga kini seramai 302 pesakit masih dirawat di ICU, dengan 169 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata dalam tempoh itu juga empat lagi kluster baharu dikesan menjadikan keseluruhannya 6,114 kluster dengan 5,888 telah ditamatkan dan 226 lagi masih aktif.

Menurutnya, seramai 3,434 pesakit sembuh menjadikan kumulatif sebanyak 2,673,084 kes atau 97.3 peratus daripada 2,746,833 kes kumulatif positif.

BERITA BERKAIT
POPULAR