Kes harian Covid-19 meningkat di 11 negeri, Selangor tertinggi

Sebelas negeri dan Wilayah Persekutuan menunjukkan kenaikan kes baharu dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, berbanding lapan yang direkodkan semalam.

Data dikumpul daripada laporan Jabatan Kesihatan Negeri hari ini menunjukkan jangkitan di Selangor meningkat tiga hari berturut-turut setelah kali pertama mencatat kes tiga angka pada 18 Oktober lalu iaitu sebanyak 800 kes.

Jangkitan di Selangor mula meningkat kepada 888 pada 19 Oktober dan 1,004 semalam. Hari ini negeri itu mencatat 1,027 kes positif.

Sementara itu 10 negeri lain turut mencatat peningkatan kes membabitkan Sabah, Terengganu, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Kedah, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Putrajaya, dan Perlis.

Sabah merekodkan 651 jangkitan baharu hari ini berbanding 426 kes semalam diikuti Terengganu (485 hari ini, 355 semalam); Pulau Pinang (381 hari ini, 378 semalam); dan Kuala Lumpur (343 hari ini, 189 semalam).

Kedah turut mencatat peningkatan kes apabila melaporkan 319 jangkitan hari ini berbanding 312 semalam; Pahang (294 hari ini, 232 semalam); Melaka (235 hari ini, 112 semalam); Negeri Sembilan (167 hari ini, 127 semalam); Perlis (33 hari ini, 29 semalam); dan Putrajaya (29 hari ini, lima semalam).

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan enam kluster baharu dikesan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, menjadikan sebanyak 5,705 kluster dikesan sejak awal tahun lalu, dengan 5,114 telah ditamatkan, dan 591 lagi masih aktif.

Tiga daripadanya adalah kluster komuniti yang dikesan di Sabak Bernam, Selangor membabitkan 15 individu daripada 29 yang disaring; Beaufort, Sabah (29 individu, 37 disaring); dan Jelebu serta Seremban, Negeri Sembilan (30 individu, 47 disaring).

Dua kluster tempat kerja dikesan di Seremban, Negeri Sembilan membabitkan 11 individu daripada 43 yang disaring, dan Sepang serta Kuala Langat, Selangor melibatkan 50 individu daripada 93 yang disaring.

Sementara itu satu kluster kumpulan berisiko tinggi turut dikesan di Kampung Bawan, Beaufort melibatkan 34 individu daripada 34 yang disaring.

Dr Noor Hisham berkata seramai 7,562 pesakit disahkan sembuh hari ini menjadikan kumulatif sejak awal tahun lalu kepada 2,303,583 kes berbanding 2,413,592 kumulatif kes positif.

Menurutnya daripada 6,210 jangkitan baharu dalam tempoh 24 jam itu 42 adalah kes import yang melibatkan 19 warganegara Malaysia dan 23 lagi bukan warganegara.

“Daripada kes baharu yang dilaporkan itu, 116 atau 1.9 peratus melibatkan pesakit kategori 3, 4 dan 5, manakala 6,094 kes (98.1 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2,” katanya.

Setakat ini katanya terdapat 677 pesakit yang dirawat di unit rawatan rapi dengan 319 memerlukan alat bantuan pernafasan.

BERITA BERKAIT
POPULAR