Kes harian Covid-19 diumum sehari kemudian mulai esok

Kementerian Kesihatan (KKM) tidak akan mengumumkan kes harian pada hari sama, sebaliknya akan berbuat demkian pada keesokannya bersama beberapa data lain, menyusul jumlah jangkitan yang memecah rekod kes semalam.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata perubahan itu dilakukan bagi mengelak ‘fear factor’ sekiranya diumumkan pada hari sama, selain data mengenainya dapat dimaklumkan bersama maklumat lain.

Langkah itu dibuat tatkala kes harian semalam melonjak kepada 27,831 – rekod tertinggi pernah dicatat sejak rakyat Malaysia pertama dikesan dijangkiti Covid-19 pada Februari 2020 lalu.

Jangkitan harian tertinggi Covid-19 pernah direkodkan sebelum ini adalah pada 26 Ogos 2021 melibatkan 24,599 kes.

Mengulas lanjut Khairy berkata perubahan itu adalah budaya baharu dalam pemakluman menganai kes harian Covid-19.

“Jangan tunggu 3 petang (setiap hari) Tan Sri KPK (Ketua Pengarah Kesihatan) press statement (siaran media) lagi. Ini adalah perubahan tingkah laku dan ‘mindset’.

“Secara perlahan kita mendidik masyarakat iaitu daripada hanya melihat kes harian kepada angka-angka yang lain untuk boleh memberikan gambaran lebih jelas dan teliti mengenai keadaan sebenar,” katanya pada sidang media hari ini, mengenai situasi semasa jangkitan Covid-19 di negara ini.

Menurutnya, amalan itu juga dilaksanakan di negara lain seperti Singapura yang mengumumkan kes harian Covid-19 pada tengah malam.

“Jadi saya harap dari segi jadual laporan agensi berita juga boleh mula membuat perubahan berkenaan seperti yang sudah pun kita tetapkan,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR