Kes hari ini paling tinggi sejak Covid-19 landa negara pada 2020

Jangkitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi melonjak lagi – tertinggi sejak rakyat Malaysia pertama dikesan dijangkiti virus itu pada Februari 2020 di Selangor.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam tempoh itu, sebanyak 27,831 jangkitan dilaporkan di seluruh negara, meningkat berbanding 22,133 kes semalam.

Jangkitan harian tertinggi Covid-19 pernah direkodkan sejak awal 2020 lalu adalah pada 26 Ogos 2021 melibatkan 24,599 kes.

Beliau berkata jumlah itu menjadikan kumulatif positif sejak awal 2020 lalu hingga hari ini mencecah 3,111,514 kes.

Sehingga berita ini ditulis, enam negeri setakat ini merekodkan peningkatan jangkitan harian dengan Sabah mencatat kes tertinggi sebanyak 5,082 kes berbanding 4,374 kes semalam.

Ini diikuti Kedah dengan 2,961 kes baharu, berbanding 2,649 semalam; Pulau Pinang (2,142 kes baharu, 1,681 semalam); Kelantan (1,914 kes baharu, 1,598 semalam); Terengganu (465 kes baharu, 453 semalam); dan Sarawak (307 kes baharu, 284 semalam).

Beliau berkata daripada kes harian yang dilaporkan hari ini, 97 kes atau 0.35 peratus melibatkan pesakit kategori 3, 4, dan 5; dan 27,734 kes (99.65 peratus) kategori 1 dan 2. Berikut adalah pecahan kategori jangkitan hari ini:

  • Kategori 1 : 7,606 kes (27.33%);
  • Kategori 2 : 20,128 kes (72.32%);
  • Kategori 3 : 59 kes (0.21%);
  • Kategori 4 : 28 kes (0.10%); dan
  • Kategori 5 : 10 kes (0.04%)

Dr Noor Hisham juga memaklumkan sehingga jam 5 petang tadi, pesakit Covid-19 baharu dimasukkan ke hospital adalah seramai 1,269 pesakit yang melibatkan 428 kes atau 33.7 peratus pesakit kategori 3, 4, dan 5; dan 841 kes (66.3 peratus) lagi pesakit kategori 1 dan 2.

Sehingga semalam, 2,868,538 pesakit telah sembuh, dan 182,965 kes aktif, meningkat 14,518 kes berbanding Isnin, dan 32,180 kes kematian.

Daripada jumlah kes aktif itu seramai 170,635 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 5,517 ditempatkan di PKRC; 6,619 dimasukkan ke hospital; dan 194 dirawat di ICU, dengan 120 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sementara itu, Dr Noor Hisham juga memaklumkan kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian semalam untuk seluruh negara adalah pada nilai Rt 1.33, turun berbanding 1.38 semalam.

Bagaimanapun, berdasarkan statistik yang dikongsi beliau, semua negeri dan Wilayah Persekutuan kekal merekodkan nilai Rt melebihi 1.00 dengan Labuan mencatat Rt 2.08, meningkat berbanding 1.94 semalam.

Sarawak pula mencatat Rt 1.57; diikuti Sabah (1.52); Perlis (1.41); masing-masing 1.40 bagi Pulau Pinang dan Kedah; Terengganu (1.36); Kelantan (1.33); Pahang (1.32); Johor (1.31); Selangor (1.29); Perak (1.28); Negeri Sembilan (1.27); Kuala Lumpur (1.24); Putrajaya (1.23); dan Melaka (1.21).

Untuk rekod, nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan virus iaitu berapa ramai individu boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

Menurut pakar kesihatan, nilai Rt berada pada tahap membimbangkan apabila melepasi 1.00 dengan lebih ramai individu berpotensi untuk dijangkiti.

Sebagai contoh, jika nilai Rt adalah 1.5, ia bererti satu kes positif boleh menyebarkannya kepada seorang atau dua orang yang lain.

BERITA BERKAIT
POPULAR