Kes Guan Eng: Saksi dedah kontraktor terowong dapat markah tertinggi

July 15, 2021 · Isu semasa

Seorang saksi kes melibatkan bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng memberitahu Mahkamah Sesyen bahawa syarikat Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd (CZBUCG) menerima markah tertinggi dalam bidaan projek pembinaan jalan utama dan terowong di negeri itu.

Bekas Exco Pulau Pinang, Datuk Lim Hock Seng, 73, berkata syarikat itu melepasi syarat-syarat dalam Request for Proposal (RFP) (Permintaan Untuk Cadangan), untuk rekod syarikat itu ditubuhkan atas gabungan syarikat Zenith BUCG, Juteras Sdn Bhd dan Sri Tinggi Sdn Bhd.

Saksi pendakwaan ketiga itu berkata Iklan Pre-Qualification (Prakelayakan) melalui laman web Kerajaan Negeri dibuat pada 11 Nov 2011, manakala iklan melalui akhbar tempatan dibuat 15 Nov 2011.

Katanya, taklimat tender dibuat sebanyak dua kali iaitu pada 29 Nov 2011 dan 14 Dis pada tahun sama, di Menara Komtar yang dihadiri 60 syarikat termasuk syarikat asing dan tempatan.

“Selepas taklimat selesai, 11 syarikat menghantar dokumen prakelayakan dan syarikat yang melepasi prakelayakan dinilai oleh Jawatankuasa Teknikal dan Kewangan yang dipengerusikan oleh Pegawai Kanan Kewangan Negeri Datuk Mokhtar Jait.

“Jawatankuasa ini dipertanggungjawabkan untuk menilai dan membuat syor untuk pemaju menyertai RFP,” katanya lapor Bernama.

Kenyataan saksi itu dibacakan pada hari ketiga perbicaraan kes rasuah Guan Eng yang berdepan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang.

Katanya, lapan syarikat berjaya melepasi syarat pra-kelayakan iaitu China State Construction Engineering Corporation Ltd & VST Cemerlang Sdn Bhd, Setia Precast Sdn Bhd, ECK Construction Sdn Bhd, Gamuda Berhad, Zambina Wawasan Sdn Bhd, IJM-CRGL Joint Ventures, Consortium Zenith BUCG Juteras & Sri Tinggi JV dan WCT Daewoo Joint Ventures.

Ketika menjelaskan lebih lanjut mengenai prosedur tender, Hock Seng berkata satu dokumen RFP telah dibuat oleh pihak Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan diserahkan kepada lapan syarikat itu, bagi membuka pelawaan RFP yang mempunyai beberapa syarat yang perlu dipatuhi.

“Bagaimanapun pada 19 Mac 2012, YB Lim telah mencadangkan untuk mewujudkan dua jawatankuasa berasingan iaitu Teknikal dan Kewangan dalam penilaian RFP. Cadangan itu dipersetujui oleh Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada tarikh yang sama.

“Setahu saya, syarikat CZBUCG dilantik kerana mendapat markah tertinggi bagi keseluruhan penilaian teknikal dan kewangan. Perkara ini kemudiannya telah diangkatkan kepada Exco Negeri untuk kelulusan,” katanya.

Semalam, Hock Seng ketika memberi keterangan memberitahu mahkamah bahawa Guan Eng memberi nombor telefon dua wakil syarikat pembinaan iaitu Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dan Datuk Lee Chee Hoe untuk membincangkan mengenai projek pembinaan jalan utama dan terowong di negeri itu pada 26 Jan 2011.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng, 60, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik bagi melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang yang bernilai RM6,341,383,702.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.

Guan Eng didakwa melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Ahli Parlimen Bagan itu juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri tersebut yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim manakala tertuduh diwakili peguam Gobind Singh Deo.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok.

Berita berkaitan
Anwar bantah permohonan ujian poligraf dibuat Yusoff Rawther: Laporan
March 30, 2024· Politik
Saman fitnah: Rayuan Jamal ditolak, perlu bayar RM300 ribu kepada Kok
March 27, 2024· Isu semasa
Selepas Zahid, Isa Samad juga dibebas daripada tuduhan rasuah RM3 juta
March 6, 2024· Politik
Isteri Tun Daim cabar kesahihan pertuduhan SPRM di Mahkamah Tinggi
March 5, 2024· Isu semasa
Popular
Kenali pereka kasut, Jimmy Choo
November 6, 2021
Banjir: Tiga beradik maut kena renjatan elektrik di Kelantan
December 19, 2022
Ketahui hak harta sepencarian selepas bercerai
January 12, 2022
SPRM ambil keterangan kedua Menteri DAP: Laporan
April 19, 2023
Lagi Isu semasa terkini
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok