Kes di sembilan negeri naik, lapan kluster baharu dikesan hari ini

Sembilan negeri dan Wilayah Persekutuan merekodkan peningkatan jangkitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, menjadikan kumulatif positif sebanyak 2,602,835 kes, dengan 2,503,427 pesakit sembuh.

Dalam tempoh itu Selangor mencatat kes tertinggi meningkat daripada 1,397 kes semalam, kepada 1,511 kes hari ini, menjadikan kumulatif positif di negeri itu mencecah 744,152 kes, dengan 715,798 pesakit sembuh.

Sehingga semalam Selangor merekodkan 18,641 kes aktif dengan 16,307 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 1,193 ditempatkan di PKRC; 1,052 dimasukkan ke hospital; dan 89 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU), termasuk 48 yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Negeri itu juga merekodkan 9,745 kematian, termasuk 2,075 pesakit yang meninggal dunia sebelum dibawa ke hospital (BID).

Sementara itu Sabah merekodkan 622 kes baharu berbanding 526 semalam, meningkat tiga hari berturut-turut, menjadikan kumulatif positif sebanyak 230,514 kes, dengan 219,205 pesakit telah sembuh, dan 2,655 kematian.

Pahang merekodkan 376 kes baharu hari ini, berbanding 278 semalam; diikuti Pulau Pinang (270 kes baharu, 262 semalam); Terengganu (231 kes baharu, 207 semalam); Negeri Sembilan (202 kes baharu, 139 semalam); Perlis (43 kes baharu, 31 semalam); dan Labuan (27 kes baharu, tujuh semalam).

Melaka yang baharu saja menyelesaikan Pilihan Raya Negeri Sabtu lalu, turut mencatat peningkatan kes hari ini sebanyak 191 kes, berbanding 112 semalam, menjadikan kumulatif positif kepada 69,744 kes, dengan 67,088 pesakit disahkan sembuh.

Sementara itu, lapan lagi kluster dikesan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi menjadikan keseluruhannya 5,906 kluster dengan 5,672 telah ditamatkan dan 234 kluster lagi masih aktif.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada 5,755 kes yang dilaporkan hari ini, 101 kes daripada 1.8 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 5,654 kes (98.2 peratus) lagi adalah pesakit kategori 1 dan 2.

Beliau berkata sehingga hari ini seramai 506 pesakit dimasukkan ke ICU dengan 270 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Daripada jumlah kes hari ini, 5,732 adalah penularan tempatan yang turut membabitkan 231 pesakit bukan warganegara, dan 23 kes import, termasuk lapan rakyat asing.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata kadar kebolehjangkitan Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian pada 23 November 2021 untuk seluruh negara kekal pada kadar 1.00.

Sebelas negeri merekodkan kadar Rt melebihi 1.00, sementara Labuan mencatat Rt 0.00.

Putrajaya merekodkan Rt tertinggi sebanyak 1.14, turun berbanding 1.15 sehari sebelumnya, manakala Selangor mencatat Rt 1.06; Johor (1.05)masing-masing 1.04 di Kuala Lumpur, Pahang, serta Kedah; Perak (1.03); masing-masing 1.01 di Kelantan, Negeri Sembilan, serta Pulau Pinang; dan Sabah (1.00).

Untuk rekod, nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus iaitu berapa ramai individu boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

Menurut pakar kesihatan, nilai Rt berada pada tahap membimbangkan apabila ia melepasi nilai 1.0 dengan lebih ramai individu berpotensi untuk dijangkiti wabak berkenaan.

BERITA BERKAIT
POPULAR