Kes di sembilan negeri naik hari ini

Sembilan negeri dan Wilayah Persekutuan merekodkan peningkatan kes harian dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, menurut data dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri-Negeri malam ini.

Peningkatan itu seiring dengan kenaikan kes di seluruh negara daripada 3,270 yang direkodkan semalam kepada 3,543 kes hari ini.

Selangor kembali merekodkan peningkatan dua hari berturut-turut apabila mencatat 919 kes baharu berbanding 908 pada Rabu dan 514 kes pada Selasa.

Angka itu kini menjadikan kumulatif kes positif di Selangor sejak awal 2020 lalu kepada 791,164 kes, dengan sehingga semalam seramai 770,057 pesakit telah sembuh, 9,981 kes kematian dan 10,207 kes serta 62 kluster masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, 8,860 pesakit menjalani kuarantin di kediaman masing-masing; 479 ditempatkan di PKRC; 821 dimasukkan ke hospital; dan 47 dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 27 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Menurut data laman sesawang Covidnow kendalian Kementerian Kesihatan (KKM), daripada 62 kluster yang masih aktif di Selangor, 38 berkaitan tempat kerja.

Negeri dan Wilayah Persekutuan lain yang merekodkan peningkatan jangkitan hari ini ialah Johor, Pahang, Kedah, Melaka, Perak, Terengganu, Putrajaya, dan Labuan.

Johor mencatat 410 kes baharu berbanding 344 semalam, diikuti Pahang (260 kes baharu, 153 semalam); Kedah (217 kes baharu, 174 semalam); Melaka (168 kes baharu, 74 semalam); Perak (166 kes baharu, 122 semalam); Terengganu (153 kes baharu, 128 semalam); Putrajaya (38 kes baharu, 25 semalam); dan Labuan (20 kes baharu, 15 semalam).

Sehingga hari ini, negara mencatat 2,776,699 kumulatif kes positif, dengan 2,705,292 atau 97.4 peratus daripadanya telah sembuh, dan 31,609 kematian.

BERITA BERKAIT
POPULAR