Kes di Selangor, Negeri Sembilan meningkat tiga hari berturut-turut

Jangkitan Covid-19 di Selangor dan Negeri Sembilan naik tiga hari berturut-turut, tatkala Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan satu lagi kes varian Omicron dikesan di negara ini, menjadikan setakat ini dua kes.

Manakala, 18 lagi sampel daripada individu yang positif Covid-19 disyaki turut dijangkiti varian yang paling pantas merebak itu. Pengesahan rasmi dijangka diketahui esok. Berita berkaitan

Selangor hari ini mencatat 1,388 kes baharu berbanding 1,134 kes semalam, dan 1,021 pada Selasa, menjadikan kumulatif kes positif sebanyak 773,702 kes, dengan sehingga semalam seramai 746,433 pesakit telah sembuh, dan 9,872 kematian.

Sehingga kini Selangor merekodkan 16,009 kes aktif, termasuk 14,186 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 839 ditempatkan di PKRC; 919 dimasukkan ke hospital; dan 65 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 42 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Negeri itu turut mengekalkan 76 kluster aktif daripada 1,283 kluster yang dikesan sejak awal tahun lalu.

Negeri lain yang turut mencatat kenaikan jangkitan hari ini ialah Johor sebanyak 471 kes berbanding 403 semalam; diikuti Pahang (352 kes baharu, 318 semalam); Terengganu (214 kes baharu, 205 semalam); dan Negeri Sembilan (203 kes baharu, 202 semalam).

Kelantan pula merekodkan 176 kes baharu, berbanding 111 semalam; Melaka (139 kes baharu, 95 semalam); Perlis (29 kes baharu, 21 semalam); dan Putrajaya (25 kes baharu, 22 semalam).

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi sebanyak enam kluster baharu Covid-19 telah dikesan.

Jumlah itu menjadikan kumulatif kluster sejak awal tahun lalu hingga hari ini sebanyak 6,062 dengan 5,814 telah ditamatkan, manalala 248 kluster lagi masih aktif.

Katanya, dalam tempoh itu juga seramai 4,985 pesakit disahkan sembuh menjadikan kumulatif 2,620,147 pesakit telah pulih, berbanding 2,707, 402 kumulatif positif.

“Daripada 4,262 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 78 kes atau 1.8 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 4,184 kes (98.2 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2,” katanya.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan seramai 383 pesakit kini masih dirawat di ICU dengan 198 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Daripada jumlah kes harian hari ini, 4,226 adalah jangkitan tempatan, termasuk yang melibatkan 185 rakyat asing dan 36 kes import dengan tujuh daripadanya adalah rakyat asing.

BERITA BERKAIT
POPULAR