Kes di Lembah Klang terus naik, Selangor catat 1,217 kes baharu

Sembilan negeri merekodkan peningkatan jangkitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi seiring kenaikan keseluruhan kes harian daripada 5,143 semalam kepada 5,413 hari ini.

Lembah Klang yang merangkumi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya kembali menjadi penyumbang tertinggi apabila merekodkan 1,580 kes dengan Selangor mencatat 1,217 kes berbanding 1,144 semalam.

Kuala Lumpur pula merekodkan 312 kes berbanding 222 semalam, manakala Putrajaya (51 kes hari ini, 52 semalam).

Keseluruhannya sejak awal tahun lalu hingga hari ini Lembah Klang mencatat 934,738 kes positif, dengan 905,512 pesakit telah sembuh, dan 12,294 kes kematian, termasuk 2,733 pesakit yang meninggal dunia sebelum menerima rawatan perubatan atau kes ‘brought in death’ (BID).

Lembah Klang turut merekodkan 20,703 kes aktif dengan 17,684 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 1,407 ditempatkan di PKRC; 1,491 dimasukkan ke hospital; dan 121 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU), termasuk 69 yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sementara itu, tujuh lagi negeri merekodkan peningkatan membabitkan Kelantan, Johor, Kedah, Pahang, Perak, Pulau Pinang, dan Perlis.

Kelantan merekodkan peningkatan dua hari berturut-turut apabila mencatat 743 kes baharu, berbanding 706 semalam; diikuti Johor (479 kes baharu, 444 semalam); dan Kedah (439 kes baharu, 298 semalam).

Pahang pula mencatatkan 329 kes baharu (267 semalam); Perak (250 kes baharu, 202 semalam); Pulau Pinang (236 kes baharu, 220 semalam); dan Perlis (25 kes baharu, lapan semalam).

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, tujuh kluster baharu dilaporkan, menjadikan keseluruhannya 5,850 kluster dengan 5,598 telah ditamatkan dan 252 masih aktif.

Bagaimanapun, beliau tidak memaklumkan pecahan kluster dan negeri yang terlibat.

Pada masa sama beliau berkata 6,013 pesakit Covid-19 telah sembuh menjadikan kumulatif sejak awal tahun lalu sebanyak 2,461,780 kes atau 96.3 peratus daripada 2,556,865 kumulatif positif.

“Sehingga hari ini terdapat 545 pesakit yang dirawat di ICU dengan 264 memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Daripada 5,413 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 102 kes atau 1.9 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 5,311 kes (98.1 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR