Kes di lapan negeri naik, tujuh kluster baharu dikesan

Lapan negeri hari ini merekodkan peningkatan jumlah kes baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari ini dengan kes di Selangor kembali melepasi angka 1,000.

Berdasarkan statistik Jabatan Kesihatan Negeri-Negeri di seluruh Malaysia, negeri yang merekodkan peningkatan kes ialah Selangor, Sabah, Sarawak, Johor, Kedah, Pahang, Negeri Sembilan, dan Labuan.

Dalam tempoh itu Selangor merekodkan 1,167 kes baharu berbanding 899 semalam, diikuti Sabah (675 kes baharu, 549 semalam); Sarawak (540 kes baharu, 528 semalam); dan Johor (441 kes baharu, 419 semalam).

Kedah pula merekodkan 381 kes baharu hari ini, berbanding 347 semalam; Pahang (316 kes baharu, 250 semalam); Negeri Sembilan (156 kes baharu, 119 semalam); dan Labuan (enam kes baharu, sifar kes semalam).

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan sebanyak 5,291 jangkitan baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, berbanding 5,071 kes semalam.

Angka itu menjadikan keseluruhan kumulatif positif meningkat kepada 2,486,630 kes.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, dalam tempoh itu juga tujuh lagi kluster baharu Covid-19 dikesan menjadikan keseluruhannya 5,788 kluster dengan 5,398 telah ditamatkan dan 390 lagi masih aktif.

Tiga daripada kluster baharu itu membabitkan tempat kerja yang dikesan di Johor Bahru melibatkan sembilan daripada 31 individu yang disaring, dan Segamat (19 individu daripada 46 yang disaring).

Satu lagi kluster tempat kerja dikesan di Kinabatangan, Sabah melibatkan 25 individu daripada 63 yang disaring.

Tiga kluster lagi melibatkan pusat tahanan di Kepong, Kuala Lumpur melibatkan lima individu daripada tujuh yang disaring, kluster komuniti di Ranau, Sabah (56 individu daripada 86 saringan), dan kluster keagamaan di Hilir Perak (14 individu daripada 20 yang disaring).

Dr Noor Hisham juga berkata seramai 4,947 pesakit disahkan sembuh hari ini menjadikan kumulatif keseluruhan 2,390,379 kes, dengan 2,486,630 pesakit disahkan sembuh.

Menurutnya, daripada 5,291 kes harian yang dilaporkan hari ini, 75 kes melibatkan pesakit kategori 3, 4 dan 5, manakala selebihnya adalah kategori 1 dan 2.

BERITA BERKAIT
POPULAR