Kes di enam negeri naik, mangsa banjir positif Covid-19 bertambah

Hanya enam negeri merekodkan peningkatan kes baharu Covid-19 manakala 10 lagi turun seiring penurunan jumlah jangkitan keseluruhan daripada 3,573 kes semalam kepada 3,386 hari ini.

Mendahului senarai kenaikan jangkitan baharu itu, ialah Johor yang melibatka 426 kes berbanding 382 yang dicatat semalam, menjadikan kumulatif positif di negeri itu naik kepada 245,366.

Sehingga semalam seramai 235,962 pesakit Covid-19 di negeri itu disahkan sembuh, manakala 3,860 pesakit lagi meninggal dunia, dan 5,118 kes serta 36 kluster masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, 4,170 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 468 ditempatkan di PKRC; 459 dimasukkan ke hospital; dan 21 dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 17 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Seramai 3,040,578 atau 80.4 peratus daripada populasi di Johor telah lengkap divaksinasi dengan vaksin Covid-19, manakala 81.3 peratus atau 3,075,579 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 591,985 individu menerima dos penggalak.
Bagi negeri lain yang mencatat peningkatan, Sabah merekodkan 264 kes baharu, berbanding 231 semalam, naik buat hari keenam berturut-turut.

Kedah pula mencatat 254 kes baharu berbanding 200 semalam, diikuti Melaka (182 kes baharu, 150 semalam); Darawak (24 kes baharu, 14 semalam); dan Perlis (22 kes baharu, 15 semalam).

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 346 lagi kes import dikesan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi yang turut melibatkan 16 rakyat asing.

Menurutnya, 3,040 kes baharu hari ini melibatkan penularan tempatan yang juga membabitkan 145 rakyat asing.

Sebanyak 3,547 pesakit disahkan sembuh hari ini menjadikan kumulatif pulih sebanyak 2,688,925 atau 97.4 peratus daripada 2,761,472 kumulatif kes positif.

“Daripada 3,386 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 46 kes atau 1.4 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 3,340 kes (98.6 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2,” katanya.

Beliau juga memaklumkan sehingga kini 273 pesakit masih dirawat di ICU dengan 159 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Menurutnya, lima lagi kluster baharu dikesan menjadikan 6,133 kluster dengan 5,918 telah ditamatkan dan 215 kluster lagi masih aktif.

Dr Noor Hisham juga berkata tujuh lagi kes baharu positif Covid-19 melibatkan mangsa banjir dikesan hari ini menjadikan keseluruhannya 451 kes, sementara jangkitan di pusat penempatan sementara (PPS) mangsa banjir kekal pada 15 kes.

BERITA BERKAIT
POPULAR