Kes di empat negeri naik hari ini

Empat negeri hari ini merekodkan peningkatan kes baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam hingga 12 tengah hari tadi, menurut statistik Jabatan Kesihatan Negeri-Negeri malam ini.

Daripada empat negeri itu, Melaka merekodkan kes tertinggi sebanyak 396 berbanding 269 kes semalam, menjadikan kumulatif positif di negeri itu meningkat kepada 81,553.

Sehingga semalam, seramai 78,385 pesakit di negeri itu telah sembuh, 1,800 kes masih aktif, manakala 972 kes kematian dilaporkan.

Daripada jumlah kes aktif itu seramai 1,169 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 565 ditempatkan di PKRC; 61 dimasukkan ke hospital; dan 5 dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan dua daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga semalam, seramai 717,680 atau 76.9 peratus populasi di negeri itu telah lengkap divaksinasi, manakala 724,344 atau 77.6 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Seramai 434,651 atau 46.6 peratus lagi menerima suntikan dos penggalak.

Sebanyak 15 kluster Covid-19 di negeri itu masih aktif dengan masing-masing tujuh kluster pendidikan serta tempat kerja, dan satu kluster komuniti.

Sementara itu, Sabah turut mencatat peningkatan kes harian apabila merekodkan 373 kes baharu hari ini, berbanding 267 semalam; diikuti Pulau Pinang (326 kes baharu, 245 semalam); dan Pahang (204 kes baharu, 190 semalam).

Selangor walaupun mencatatkan penurunan jangkitan harian sejak dua hari lalu, namun kekal merekodkan kes tertinggi dengan 1,269 kes baharu berbanding 1,328 semalam.

BERITA BERKAIT
POPULAR