Kes di empat negeri naik hari ini, sembilan kluster baharu dikesan

Genap dua minggu setelah melalui Pilihan Raya Negeri (PRN), jumlah jangkitan Covid-19 di Melaka dalam tempoh 24 jam hingga 12 tengah hari tadi meningkat daripada 225 kes semalam kepada 259 kes hari ini.

Berdasarkan rekod Jabatan Kesihatan Negeri Melaka, jumlah kumulatif positif di negeri itu meningkat kepada 71,982 kes, dengan 69,295 pesakit telah sembuh. Negeri itu juga mencatat 939 kes kematian.

Hingga kini, Melaka merekodkan 1,665 pesakit aktif dengan 1,169 daripadanya kini menjalani kuarantin di rumah; 333 ditempatkan di PKRC; 145 dimasukkan ke hospital; dan 18 dirawat di unit rawatan rapi (ICU), termasuk lima pesakit yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sarawak yang bakal menghadapi PRN pada 18 Disember ini pula mencatat penurunan daripada 104 kes semalam kepada 71 kes hari ini.

Sementara itu, Kelantan turut merekodkan peningkatan daripada 432 semalam kepada 434 hari ini, naik dua kes, menjadikan kumulatif positif sebanyak 159,082, dengan 152,556 pesakit sembuh, dan 1,183 kematian.

Sehingga semalam, Kelantan mencatat 4,951 kes aktif, termasuk 3,740 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 664 ditempatkan di PKRC; 504 dimasukkan ke hospital; dan 43 pesakit dirawat di ICU, dengan 25 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Perak pula merekodkan peningkatan jangkitan daripada 235 kes semalam kepada 254 kes hari ini, manakala Terengganu sebanyak 228 kes hari ini (168 semalam).

Selangor, walaupun merekodkan penurunan jangkitan hari ini namun kekal mencatat kes tertinggi sebanyak 1,160 berbanding 1,347 semalam.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sembilan kluster baharu dikesan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi.

Katanya, keseluruhannya sebanyak 5,978 kluster telah dikesan sejak awal tahun lalu dengan 5,745 kluster telah ditamatkan, manakala 233 lagi masih aktif, meningkat berbanding 227 kluster aktif semalam.

Menurutnya, dalam tempoh itu juga seramai 4,929 pesakit telah sembuh menjadikan kumulatif sebanyak 2,566,159 pesakit pulih atau 96.5 peratus daripada 2,658,772 kumulatif kes positif.

Beliau berkata daripada 4,298 kes harian yang dilaporkan hari ini 75 kes atau 1.7 peratus adalah pesakit kategori 3, 4, dan 5; dan 4,223 kes (98.3 peratus) lagi terdiri daripada kategori 1 dan 2.

Sehingga hari ini, katanya, 471 pesakit sedang dirawat di ICU, dengan 264 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Daripada jumlah kes hari ini juga seramai 154 pesakit melibatkan bukan warganegara Malaysia.

BERITA BERKAIT
POPULAR