Kes di 12 negeri naik, 7 kluster baharu dikesan

Dua belas negeri hari ini merekodkan peningkatan jangkitan baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, namun semuanya tidak melebihi empat angka.

Daripada 5,726 jangkitan baharu itu, Selangor mencatat kes tertinggi sebanyak 929 kes berbanding 756 semalam, diikuti Sarawak (713 kes baharu, 493 semalam); Kelantan (685 kes baharu, 596 semalam); Sabah (565 kes baharu, 450 semalam); dan Pulau Pinang (378 kes baharu, 271 semalam).

Kedah turut merekodkan peningkatan kes kepada 346 berbanding 333 semalam, diikuti Kuala Lumpur (339 kes baharu, 176 semalam); Melaka (254 kes baharu, 177 semalam); dan Negeri Sembilan (199 baharu, 145 semalam).

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri-Negeri hari ini Putrajaya merekodkan 37 kes baharu, meningkat berbanding 13 kes semalam; diikuti Perlis (23 baharu, 20 semalam); dan Labuan (tiga kes baharu berbanding sifar kes semalam).

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan tujuh kluster baharu dikesan dalam tempoh 24 jam itu menjadikan keseluruhannya 5,735 kluster dengan 5,229 telah ditamatkan dan 506 lagi masih aktif.

Katanya, kluster baharu itu membabitkan lima di tempat kerja iaitu dua di Johor dan masing-masing satu di Kedah, Melaka dan Perak; serta masing-masing satu kluster komuniti dan pendidikan tinggi.

Dua daripada kluster tempat kerja di Johor membabitkan Industri Jalan Besi Tujuh di Kulai, dengan seramai sembilan individu daripada 63 saringan, dan Jalan Bacang Tampoi, Johor Bahru melibatkan tujuh individu daripada 21 yang disaring.

Kluster tempat kerja dikesan di Bandar Baharu, Kedah melibatkan 11 individu daripada 34 saringan; Jasin, Melaka (75 individu, 163 saringan); dan Hilir Perak (14 individu, 281 saringan).

Sementara satu kluster komuniti dikesan di Ranau, Sabah melibatkan seramai 49 individu daripada 58 yang disaring.

Kluster pendidikan tinggi pula dilaporkan di Jalan Seremban Tiga, Negeri Sembilan membabitkan 17 individu daripada 45 yang disaring.

BERITA BERKAIT
POPULAR