Kes di 10 negeri naik tapi semua bawah 900

Sepuluh negeri dan Wilayah Persekutuan merekodkan peningkatan jangkitan Covid-19 seiring kenaikan jumlah kes baharu di seluruh negara daripada 4,626 kes semalam kepada 5,071 kes hari ini.

Bagaimanapun, semua peningkatan kes baharu itu bukan sahaja tidak melepasi empat angka, malah berada di bawah paras 900 kes.

Negeri yang merekodkan peningkatan kes ialah Selangor, Kelantan, Sabah, Sarawak, Johor, Kedah, Kuala Lumpur, Perak, Melaka, dan Perlis.

Selangor merekodkan 899 kes baharu hari ini berbanding 883 semalam diikuti Kelantan (688 kes baharu, 461 semalam); Sabah (549 kes baharu, 393 semalam); Sarawak (528 kes baharu, 478 semalam); dan Johor (419 kes baharu, 408 semalam).

Kedah pula mencatat sebanyak 347 kes baharu berbanding 326 kes semalam; Kuala Lumpur (259 kes baharu, 204 semalam); Perak (219 kes baharu, 190 semalam); Melaka (214 kes baharu, 184 semalam); dan Perlis (54 kes baharu, 46 semalam).

Labuan kekal mencatat sifar kes Covid-19 buat hari kedua berturut-turut.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan lima kluster baharu Covid-19 dikesan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi menjadikan keseluruhannya 5,781 kluster dengan 5,377 telah ditamatkan dan 404 lagi masih aktif.

Beliau berkata tiga daripada kluster baharu itu membabitkan jangkitan di tempat kerja, dan masing-masing satu melibatkan komuniti dan pendidikan.

Pahang mencatatkan tiga kluster iaitu kluster tempat kerja di Bera membabitkan 35 individu daripada 117 yang disaring, kluster pendidikan di Kuantan dengan 12 individu daripada 36 yang disaring, dan kluster komuniti di Maran melibatkan 13 daripada 33 individu yang disaring.

Dua lagi kluster tempat kerja dikesan di Jalan Tuanku Dua di Lembah Pantai, Kuala Lumpur membabitkan enam individu daripada 38 yang disaring, dan di industri Jalan KPB Sembilan, Hulu Langat melibatkan 16 individu daripada 31 saringan.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan seramai 5,372 pesakit Covid-19 disahkan sembuh menjadikan kumulatif sejak awal tahun lalu hingga hari ini meningkat kepada 2,385,432 kes atau 96.1 peratus daripada 2,481,339 kes positif.

Mengenai jangkitan hari ini beliau berkata daripada 5,071 kes itu, 15 adalah kes import yang turut membabitkan tiga bukan warganegara Malaysia, dan 5,056 kes lagi adalah penularan tempatan, termasuk melibatkan 241 rakyat asing.

Daripada jumlah kes itu juga, 121 atau 2.4 peratus pesakit adalah dalam kategori 3, 4, dan 5, manakala 4,950 atau 97.6 peratus lagi pesakit kategori 1 dan 2.

Katanya seramai 557 pesakit kini dirawat di unit rawatan rapi dengan 300 memerlukan alat bantuan pernafasan.

BERITA BERKAIT
POPULAR