Kes di 10 negeri naik, jangkitan baharu di Sarawak melonjak

Jumlah jangkitan Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi naik semula kepada 20,396 kes, berbanding 19,057 kes semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata angka terbaharu itu menjadikan kumulatif sejak pandemik Covid-19 menular di negara ini awal tahun lalu kepada 1,844,835  kes.

Berdasarkan data yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini, 10 negeri merekodkan peningkatan dengan Sarawak hampir menyamai kes di Selangor.

Negeri yang merekodkan peningkatan kes ialah Selangor, Sarawak, Johor, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, dan Putrajaya.

Selangor merekodkan 3,886 kes baharu berbanding, 3,775 semalam, diikuti Sarawak (3,747 kes baharu, 2,723 semalam); Johor (2,165 baharu, 2,077 semalam); Pulau Pinang (1,961 baharu, 1,558 semalam); dan Kedah (1,587 baharu, 1,329 semalam).

Terengganu pula merekodkan 861 kes baharu berbanding 605 semalam; Pahang (485 baharu, 410 semalam); Melaka (459 baharu, 338 semalam); Negeri Sembilan (269 baharu, 242 semalam); dan Putrajaya (25 baharu, 18 semalam).

BERITA BERKAIT
POPULAR