
Banjir kilat meningkatkan risiko pembiakan nyamuk denggi.
Jumlah kes demam denggi pada Minggu Epidemiologi ke-44 tahun ini (ME44/22) meningkat sebanyak 233 kes atau 16 peratus kepada 1,693 kes dengan dua kematian akibat komplikasi.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga kini adalah sebanyak 51,262 kes berbanding 22,101 kes bagi tempoh sama 2021 iaitu peningkatan sebanyak 29,161 kes (131.9 peratus).
Manakal sebanyak 35 kematian akibat komplikasi denggi dilaporkan berbanding 17 kematian bagi tempoh sama pada 2021, iaitu peningkatan sebanyak 18 kematian.
Bagaimanapun, katanya jumlah lokaliti hotspot yang dilaporkan pada ME44/22 menurun kepada 50 berbanding 56 pada minggu sebelumnya dengan 31 lokaliti hotspot di Selangor, Sabah (14 ), Kuala Lumpur dan Putrajaya (4) dan Melaka (1).
Sementara itu, katanya survelan chikungunya merekodkan sebanyak 12 kes pada ME44/22 dengan enam kes dari Pulau Pinang, lima di Selangor dan satu dari Negeri Sembilan menjadikan jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 682 kes.
Bagi survelan zika, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 1,739 sampel darah dan 16 sampel urin telah dijalankan saringan zika dan kesemuanya adalah negatif.
Susulan banjir kilat yang melanda beberapa negeri baru-baru ini, beliau mengingatkan risiko pembiakan nyamuk pada bekas-bekas yang ditakungi air.
Sehubungan itu beliau menyarankan penduduk dan pihak berkuasa tempatan (PBT) segera melupuskan bekas-bekas tersebut yang boleh menjadi lokasi pembiakan nyamuk.