Kes dana SRC, peguam Najib mohon perbicaraan semula dalam rayuan terakhir

Peguam bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang sudah disabitkan hukuman berhubung dana SRC International Sdn Bhd (SRC) meminta supaya perbicaraan semula dijalankan atas alasan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali tidak sepatutnya mengadili kes dihadapinya di Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah semasa berhujah di Mahkamah Persekutuan hari ini memberitahu akan membuat permohonan tersebut dengan alasan Mohd Nazlan sebelum ini juga merupakan peguam di syarikat perbankan terkemuka, Maybank.

Shafee juga berkata wujud dakwaan Mohd Nazlan terbabit dalam permohonan pinjaman syarikat berkaitan 1MDB ketika berkhidmat sebagai setiausaha syarikat Maybank dan penasihat undang-undang kumpulan bank itu.

“Mohd Nazlan terbabit dalam proses permohonan pinjaman, beliau sepatutnya mendedahkan perkara itu dan tidak mendengar perbicaraan kes,” katanya dipetik laporan Berita Harian.

Semalam, Shafee memberitahu pemberita, Mohd Nazlan sepatutnya mendedahkan jawatan terdahulunya di Maybank pada 2012.

Katanya, terdapat lebih RM4 bilion pinjaman Maybank kepada 1MDB untuk pengambilalihan Tanjong Energy Sdn Bhd (Tanjong) yang melalui pelbagai proses, jawatankuasa risiko dan keseluruhan lembaga (lembaga pengarah Maybank).

Susulan itu, Shafee berkata, pihaknya akan memfailkan permohonan baharu di Mahkamah Persekutuan berhubung perkara berkenaan.

Mahkamah Persekutuan hari ini mendengar permohonan Najib untuk memasukkan bukti baharu dalam rayuan akhir kes SRC dengan mendakwa bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan keluarganya bekerjasama dalam rancangan ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low terhadap dirinya.

Shafee dalam hujahannya, mencadangkan tiga pilihan kepada mahkamah untuk mendengar permohonan memasukkan bukti baharu itu.

Pada 28 Julai 2020, Mohd Nazlan mensabitkan dan mengenakan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, selepas mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC.

Pada 8 Disember tahun lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil bersama-sama Hakim Datuk Has Zanah Mehat dan Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, menolak rayuan Ahli Parlimen Pekan itu dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Sehari sebelum itu, panel sama turut menolak permohonan Najib untuk memasukkan bukti baharu berkaitan Zeti dan keluarganya.

BERITA BERKAIT
POPULAR