[KEMAS KINI] Jangkitan Covid turun

Jangkitan harian Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam semalam (Sabtu, 9 April 2022), turun mendadak berbanding Jumaat, dengan hanya Kuala Lumpur mencatat peningkatan kes.

Berdasarkan data CovidNOW yang dikemas kini 8.40 pagi tadi, keseluruhan kes baharu yang dicatatkan semalam ialah sebanyak 10,177 kes, termasuk 53 kes import, berbanding 14,944 pada Jumaat.

Jumlah itu menjadikan kumulatif positif sejak kes pertama Covid-19 dikesan di negara ini pada Januari 2020 lalu sebanyak 4,317,706 – ketiga tertinggi dalam kalangan negara-negara ASEAN selepas Vietnam dan Indonesia.

Dalam tempoh itu juga seramai 4,128,963 pesakit telah sembuh, 35,280 kematian dilaporkan dan 153,463 kes masih aktif, dengan 149,994 pesakit menjalani kuarantin di rumah.

Selain itu, seramai 310 pesakit ditempatkan di PKRC; 2,964 dimasukkan ke hospital; dan 195 dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 108 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Menurut Kementerian Kesihatan (KKM) dalam fasa peralihan ke endemik, hampir 98 peratus kes aktif Covid-19 hanya perlu berisolasi di rumah tanpa rujukan ke hospital, susulan kejayaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang memastikan kebanyakan pesakit hanya mengalami gejala ringan.

Bagaimanapun, KKM terus memantau kes-kes yang berisolasi di rumah melalui Pusat Penilaian Covid Maya (VCAC). Pemantauan ‘home isolation’ adalah penting kerana ada pesakit yang mengalami kemerosotan gejala yang perlu dirujuk ke hospital atau PKRC.

Walaupun peratusan yang dirujuk adalah rendah iaitu kira-kira satu peratus, pemantauan VCAC akan memberi kemudahan kepada pesakit dan data sebenar untuk KKM.

Sehingga Jumaat lalu, 25,891,835 atau 79.3 peratus daripada populasi di Malaysia, termasuk rakyat asing, telah menerima dua dos, 27,550,216 atau 84.4 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 15,908,442 atau 67.6 peratus individu dewasa menerima dos penggalak.

Data harian CovidNOW menunjukkan Kuala Lumpur merekodkan 1,008 kes, naik daripada 970 yang dicatat Jumaat, menjadikan kumulatif positif meningkat kepada 336,155 kes.

Sehingga semalam, 322,058 pesakit Covid-19 di Kuala Lumpur telah pulih, 2,808 kes kematian dilaporkan, dan 11,289 kes masih aktif, dengan 10,890 pesakit menjalani kuarantin di rumah.

Seramai 120 pesakit lagi ditempatkan di PKRC, 271 (di hospital); dan lapan pesakit dirawat di ICU, dengan empat daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Berikut adalah pecahan kes harian dan kumulatif bagi setiap negeri:

  • Selangor – 1,261,817;
  • Johor – 377,466;
  • Sabah – 369,060;
  • Kuala Lumpur – 336,155;
  • Sarawak – 302,233;
  • Kedah – 295,429;
  • Pulau Pinang – 272,362;
  • Kelantan – 246,283;
  • Negeri Sembilan – 194,586;
  • Perak – 194,461;
  • Pahang – 168,845;
  • Terengganu – 123,479;
  • Melaka – 118,896;
  • Labuan – 21,142;
  • Putrajaya – 18,476; dan
  • Perlis – 17,016.

BERITA BERKAIT
POPULAR