Kes Covid di semua negeri kecuali Kuala Lumpur melonjak tinggi

Hanya Kuala Lumpur sahaja yang merekodkan penurunan jangkitan harian Covid-19 dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, manakala 15 negeri dan Wilayah Persekutuan lain mencatat peningkatan.

Jangkitan harian di Selangor dalam tempoh itu melonjak melebihi 2,000 kes, manakala kes di Sabah pula melepasi 1,000.

Johor yang akan berdepan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi, turut merekodkan peningkatan jangkitan harian daripada 757 kes semalam kepada 901 kes hari ini.

Selangor hari ini merekodkan kes tertinggi sejak September 2021 apabila mencatat 2,490 kes baharu, berbanding 1,987.

Kali terakhir Selangor merekodkan kes harian melebihi 2,000 adalah pada 25 September 2021 iaitu sebanyak 2,341 kes.

Kes harian di negeri itu hari ini adalah peningkatan lima hari berturut-turut dan mengekalkannya sebagai ‘titik panas’ Covid-19 di Malaysia.

Sehingga kini, negeri itu merekodkan kumulatif positif sebanyak 824,437 kes, dengan sehingga semalam seramai 794,401 pesakit telah sembuh, 10,060 kematian dan 17,486 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu seramai 16,347 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 427 lagi ditempatkan di PKRC; 689 dimasukkan ke hospital; dan 23 pesakit dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU), dengan 10 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Manakala kes jumlah kumulatif kes di Sabah juga kini meningkat kepada 251,645 kes, dengan sehingga semalam 240,534 pesakit telah sembuh, 2,833 kes kematian, dan 7,073 kes masih aktif.

Sementara itu, kumulatif kes positif di Johor meningkat kepada 264,121 kes dengan sehingga semalam seramai 248,639 pesakit sembuh, 3,924 kes kematian, dan 10,657 kes masih aktif.

Sehingga hari ini, negara merekodkan 2,904,131 kumulatif kes positif dengan 2,806,154 pesakit atau 96.6 peratus daripada kes positif, telah sembuh.

Pada masa sama Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan sebanyak 134 lagi kes import dikesan hari ini membabitkan 50 warganegara dan 84 rakyat asing.

Sebanyak 8,983 kes lagi adalah penularan tempatan yang turut melibatkan 268 rakyat asing.

Sehingga hari ini katanya, seramai 123 pesakit masih dirawat di ICU dengan 67 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, katanya, sebanyak 10 kluster baharu Covid-19 dikesan menjadikan setakat ini 353 kluster masih aktif, manakala 6,135 lagi telah ditamatkan.

“Daripada 9,117 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 47 kes atau 0.5 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 9,070 kes (99.5 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR