Kes Covid-19 naik mendadak, kerajaan kaji semula PKP

Susulan peningkatan kes Covid-19 yang setiap hari menunjukkan kenaikan mendadak, kerajaan akan menilai semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuat kuasa, khususnya di negeri-negeri yang sedang mengalami kenaikkan kes positif Covid-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penilaian semula ini penting untuk memastikan Produser Operasi Standard (SOP) yang berkuat kuasa dan tindakan yang diambil adalah berkesan untuk membendung penularan Covid-19.

“Kerajaan telah pun menggunakan sistem amaran awal iaitu Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE) bagi mengenal pasti kawasan atau premis yang berisiko menyumbang kepada penularan Covid-19.

“Premis-premis ini akan diarah tutup jika dikesan telah dilawati oleh sejumlah besar mereka yang positif Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Muhyiddin, pendekatan ini selari dengan keputusan kerajaan untuk mengawal dan membendung penularan Covid-19 secara bersasar.

“Melalui sistem ini, pemantuan dilakukan setiap hari bagi mengenal pasti lokasi-lokasi tumpuan awam yang berisiko tinggi,” katanya.

Justeru beliau menyeru orang ramai supaya sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan serta mengelakkan daripada berada di tempat yang sempit dan sesak bagi melindungi diri, keluarga dan masyarakat daripada jangkitan Covid-19.

Semalam negara menyaksikan sebanyak 3,788 kes baharu Covid-19, di mana Selangor mencatatkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,265 kes.

Jumlah keseluruhan kes pula kini mencecah 408,713.

BERITA BERKAIT
POPULAR