
Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Sambutan dua perayaan dalam masa terdekat ini dijangka bakal menyumbang kepada peningkatan kes baharu jangkitan Covid-19, kata Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Menteri Kesihatan itu tidak menolak risiko kes Covid-19 dalam negara kembali naik sekiranya orang ramai mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi mengelak penularan virus tersebut.
Untuk rekod, Thaipusam akan disambut esok, serta Tahun Baharu Cina pada 1 Februari depan.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai kekal mematuhi SOP, khususnya pemakaian pelitup mula, selain terus mengamalkan TRIIS (ujian saringan, melaporkan hasil ujian saringan, menjalani kuarantin, memaklumkan pada kontak rapat jika positif dan mendapatkan rawatan segera).
Khairy turut menyarankan orang ramai mengaktifkan fungsi MySejahtera Trace di kawasan tumpuan awam bagi membolehkan pengesanan kontak rapat kes positif secara lebih berkesan, selain mendapatkan dos penggalak.
“Menjelang sambutan Thaipusam dan Tahun Baharu Cina, jumlah kes harian mungkin meningkat.
“Jadi, sila kekalkan pematuhan SOP (khususnya pelitup muka), TRIIS, membuka MySejahtera Trace di kawasan orang ramai dan dapatkan dos penggalak,” katanya menerusi Twitter, hari ini.
Mengulas lanjut, Khairy memaklumkan rakyat Malaysia dilihat berjaya memastikan penularan Covid-19 kekal terkawal selepas dua sambutan besar sebelum ini, iaitu Krismas pada 25 Disember lalu dan Tahun Baharu pada 1 Januari, meskipun negara diancam Omicron.
Dalam tempoh berkenaan, jumlah kes harian kekal stabil antara 2,600 hingga 3,700 kes, meskipun kadar kebolehjangkitan Covid-19 meningkat kepada 1.0.
Sehubungan itu, Khairy berharap perkara itu dapat dikekalkan sepanjang sambutan Thaipusam dan Tahun Baharu Cina.
“Kita sudah lakukan dengan baik dalam memastikan jangkitan Covid-19 kekal terkawal sepanjang Krismas dan Tahun Baharu meskipun berdepan Omicron,” katanya.