Kes Covid-19 di tujuh negeri naik, Kelantan catat lonjakan tinggi

Tujuh negeri merekodkan peningkatan jangkitan baharu Covid-19, dengan Selangor terus mencatat kenaikan empat hari berturut-turut, menurut statistik dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri-Negeri, hari ini.

Dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, Selangor merekodkan 1,441 kes baharu berbanding 1,288 kes dalam tempoh sama semalam.

Jumlah itu menjadikan keseluruhan sebanyak 775,143 kes positif, sementara 748,061 pesakit sembuh, dan 9,875 kes kematian.

Sehingga semalam, Selangor mencatat 15,766 kes aktif, serta 79 kluster masih aktif, termasuk empat kluster baharu yag dikesan semalam yang masing-masing satu di daerah Klang dan satu lagi di Sabak Bernam.

Daripada jumlah kes aktif itu, 14,250 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 574 ditempatkan di PKRC; 877 dimasukkan ke hospital; dan 65 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU), termasuk 37 daripadanya yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Seramai 4,749,164 atau 93.9 peratus individu di negeri itu telah lengkap divaksinasi, 95.3 peratus atau 4,828,946 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos dan 873,693 individu menerima suntikan dos penggalak.

Sementara itu, Kelantan mencatat lonjakan tertinggi sebanyak 219 iaitu daripada 176 kes semalam kepada 395 kes hari ini, menjadikan keseluruhan kes positif di negeri itu sebanyak 163,960 kes, dengan 158,646 pesakit telah sembuh dan 1,215 kematian.

Bagi negeri-negeri lain pula, Pulau Pinang turut merekodkan peningkatan jangkitan daripada 249 kes semalam kepada 272 kes hari ini, diikuti Terengganu (228 kes baharu, 214 semalam); Melaka (152 kes baharu, 139 semalam); Putrajaya (28 kes baharu, 25 semalam); dan Labuan (10 kes baharu, enam semalam).

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan 12 kluster baharu dikesan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi. Butiran lanjut berkaitan kluster itu akan disiarkan dalam laman sesawang Covidnow pagi esok.

Sejak awal tahun lalu sehingga hari ini sebanyak 6,074 kluster telah dikesan dengan 257 masih aktif manakala 5,817 telah ditamatkan.

Beliau juga memaklumkan dalam tempoh itu 5,098 pesakit Covid-19 di seluruh negara telah sembuh menjadikan kumulatif sebanyak 2,625,245 kes atau 96.8 peratus daripada 2,711,764 kumulatif positif.

“Daripada 4,362 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 89 kes atau 2.0 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5 dan 4,273 kes (98.0 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

Seramai 400 pesakit kini dirawat di ICU, berbanding 383 kes semalam, dengan 198 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Daripada 4,362 kes baharu yang dilaporkan hari ini, 28 membabitkan kes import dengan 15 daripadanya bukan warganegara Malaysia, dan 4,334 kes penularan tempatan yang turut melibatkan 235 rakyat asing.

BERITA BERKAIT
POPULAR