Kes Covid-19 di Selangor melonjak, Melaka rekod 233 jangkitan baharu

Jangkitan Covid-19 di Selangor semakin melonjak apabila dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi negeri itu merekodkan 1,737 kes baharu, berbanding 1,448 semalam.

Angka itu menjadikan kumulatif kes positif di negeri berkenaan kini mencecah 737,404 kes. Bagaimanapun, sehingga semalam 710,706 daripada pesakit Covid-19 telah sembuh.

Selangor turut merekodkan 9,716 kematian akibat komplikasi Covid-19, manakala kes aktif kini mencapai 16,767 pesakit.

Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 14,136 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 1,416 ditempatkan di PKRC; 1,128 dimasukkan ke hospital; dan 87 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 57 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sementara itu, Kelantan turut merekodkan peningkatan jangkitan baharu apabila merekodkan 735 kes hari ini berbanding 733 semalam; diikuti Sabah (543 kes baharu, 541 semalam); Pulau Pinang (356 kes baharu, 327 semalam); dan Putrajaya (82 kes baharu, 35 semalam).

Sehingga berita ini ditulis tiada laporan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan berhubung jumlah jangkitan di wilayah itu.

Melaka yang akan menyaksikan hari pembuangan undi Pilihan Raya Negeri, esok, mencatat penurunan jangkitan baharu hari ini apabila merekodkan 233 kes, berbanding 307 semalam.

Sehingga semalam, Melaka merekodkan 1,600 kes aktif dengan 1,122 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 322 ditempatkan di PKRC; 143 dimasukkan ke hospital; dan 13 dirawat di ICU, termasuk tiga pesakit yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga kini, negeri itu mencatat 68,590 kes positif dengan 66,222 pesakit telah sembuh, dan 922 pesakit telah meninggal dunia.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam tempoh 24 jam itu juga sebanyak 5,031 pesakit disahkan sembuh menjadikan kumulatif sejak awal tahun lalu sebanyak 2,477,314 kes atau 96.2 peratus daripada keseluruhan 2,575,888 kes kumulatif positif.

Daripada 6,355 kes baharu hari ini, beliau berkata, 6,324 adalah jangkitan tempatan yang turut melibatkan 212 warganegara asing, dan 31 kes import yang juga membabitkan 11 bukan warganegara.

Menurutnya seramai 542 pesakit kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 268 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Katanya sebanyak 115 kes atau 1.8 peratus daripada jangkitan baharu adalah pesakit kategori 3,4 dan 5, manakala 6,240 kes atau 98.2 peratus lagi adalah pesakit kategori 1 dan 2.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi sebanyak 10 kluster baharu dikesan menjadikan keseluruhannya 5,877 kluster dengan 5,631 telah ditamatkan dan 246 lagi masih aktif.

BERITA BERKAIT
POPULAR