Kes Covid-19 di lapan negeri naik, Selangor kekal tinggi

Lapan negeri dan Wilayah Persekutuan merekodkan peningkatan jangkitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, berdasarkan statistik dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri-Negeri hari ini.

Negeri yang merekodkan peningkatan kes harian hari ini ialah Kelantan, Johor, Melaka, Sabah, Perak, Sarawak, Putrajaya dan Perlis.

Kelantan mencatat 447 kes baharu berbanding 395 kes semalam, menjadikan kumulatif positif di negeri itu sejak awal tahun lalu sebanyak 164,407 kes, berbanding 159,147 pesakit sembuh.

Negeri itu juga mencatat 1,217 kes kematian, termasuk 273 pesakit yang meninggal dunia sebelum sempat diberi rawatan di hospital (BID).

Sehingga semalam negeri itu merekodkan 3,596 kes aktif dengan 2,705 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 504 ditempatkan di PKRC; 352 dimasukkan ke hospital; dan 35 dirawat di unit rawatan rapi (ICU), termasuk 15 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Kelantan turut menjadi negeri yang kadar vaksinasinya masih rendah, dengan keseluruhannya seramai 1,170,254 atau 61.4 peratus individu yang melengkapkan suntikan vaksin masing-masing.

Manakala 62.7 peratus atau 1,194,975 lagi individu menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 115,700 menerima dos penggalak.

Kelantan turut mencatat 26 kluster aktif dengan 12 daripadanya membabitkan kluster berkaitan pendidikan; tempat kerja (11); keagamaan (dua); dan satu kluster kumpulan berisiko tinggi.

Bagi negeri-negeri lain yang mencatat peningkatan kes harian hari ini, Johor merekodkan 407 kes baharu berbanding 399 semalam; dan Melaka (272 kes baharu, 152 semalam).

Sabah pula merekodkan 237 kes baharu, berbanding 166 semalam; Perak (228 kes baharu, 180 semalam); Sarawak (41 kes baharu, 24 semalam); Putrajaya (35 kes baharu, 28 semalam); dan Perlis (33 kes baharu, 21 semalam).

Selangor walaupun mencatat penurunan daripada 1,441 kes semalam kepada 1,114 kes, kekal negeri tertinggi menyumbang jumlah kes keseluruhan hari ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan seramai 5,435 pesakit Covid-19 sembuh dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, mengatasi jumlah kes positif sebanyak 4,083 kes.

Menurutnya angka terbaharu itu menjadikan kumulatif pesakit sembuh sebanyak 2,630,680 kes atau 96.9 peratus daripada 2,715,847 kumulatif kes positif.

“Daripada 4,083 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 69 kes atau 1.7 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 4,014 kes (98.3 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2,” katanya.

Katanya, seramai 391 pesakit kini dirawat di ICU, dengan 215 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Beliau berkata, daripada keseluruhan jangkitan baharu hari ini, 34 membabitkan kes import termasuk tujuh bukan warganegara, manakala selebihnya adalah jangkitan tempatan yang turut melibatkan 335 bukan warganegara.

Pada masa sama, Dr Noor Hisham memaklumkan tiga lagi kluster baharu dikesan menjadikan keseluruhannya 6,007 kluster dengan 5,825 telah ditamatkan dan 252 lagi masih aktif.

BERITA BERKAIT
POPULAR