
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah Datuk Dr Mohd Hayati Othman.
Kedah merekodkan 491 jangkitan baharu Covid-19, melonjak 34.5 peratus dalam Minggu Epidemiologi 28 (EW28) antara 10 hingga 16 Julai, berbanding minggu sebelumnya.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Dr Mohd Hayati Othman bagaimanapun berkata, keadaan masih terkawal dan pihak berkuasa kesihatan sedang memantau keadaan.
“Majoriti kes positif yang dilaporkan minggu lepas dikesan daripada saringan kesihatan yang dilakukan ke atas pesakit bergejala dengan 53.6 peratus adalah jumlah kes baharu.
“Ini diikuti dengan kes positif dikesan daripada saringan yang dilakukan ke atas kontak rapat sebanyak 15.7 peratus dan saringan ujian kendiri sebanyak 15.3 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.
Dr Hayati berkata Kedah merekodkan 109 kes positif baharu semalam, dengan majoriti pesakit terdiri daripada kumpulan umur 19 hingga 59 tahun.
Beliau berkata 18 kes atau 16.5 peratus daripada kes positif yang dilaporkan semalam melibatkan mereka yang berumur 60 tahun dan ke atas.
“Keadaan pandemik Covid-19 di negeri ini terkawal buat masa ini dan pihak berkuasa memantau situasi itu dengan teliti,” katanya.
Dr Hayati menambah, kebanyakan kes positif hanya menunjukkan gejala ringan dan diletakkan di bawah kuarantin di rumah.
Beliau berkata keadaan kesihatan pesakit sedang dipantau oleh Pusat Penilaian Covid-19 yang beroperasi di fasiliti kesihatan dan secara maya.
Memandangkan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 di Kedah ditutup sejak 15 Mei lalu, beliau berkata pesakit yang memerlukan rawatan dimasukkan ke wad Covid-19 di hospital awam.
Sementara itu, Dr Hayati berkata wabak Influenza Like Illness (ILI) dan jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) telah mencatatkan trend menurun minggu lepas.
Beliau berkata hanya satu wabak ILI/URTI baharu dikesan di Kedah, melibatkan sebuah institusi pengajian tinggi.
Beliau berkata sehingga kini, terdapat 24 kluster ILI/URTI dilaporkan di Kuala Muda, Sik (empat), Baling dan Bandar Baharu (tiga), Kubang Pasu dan Yan (dua) serta Kota Setar, Kulim, Langkawi dan Pendang masing-masing dengan satu kluster dilaporkan.
Bagi penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD), Dr Hayati berkata ia turut mencatatkan trend menurun sebanyak 43.6 peratus berbanding minggu sebelumnya.
Beliau berkata terdapat 105 kes baharu HFMD dilaporkan di negeri ini ketima ME 28, penurunan sebanyak 81 kes berbanding minggu sebelumnya, dengan tiada wabak baharu direkodkan.