
Balu Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Nazrin Hassan, Samirah Muzaffar dan dua remaja hari ini (21 Jun 2022) dibebaskan daripada tuduhan membunuh suaminya.
Balu Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Nazrin Hassan, Samirah Muzaffar dan dua remaja dibebaskan daripada tuduhan membunuh suaminya, hari ini.
Mereka dibebaskan daripada pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 undang-undang sama, yang membawa hukuman mati mandatori.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ab Karim Ab Rahman berkata tiada unsur prima facie terbukti terhadap ketiga-tiga mereka.
Beliau berkata ketiga-tiga mereka dilepaskan tanpa perlu membela diri.
Samirah, 47, dan dua remaja serta wanita warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang masih bebas, didakwa membunuh Nazrin di sebuah rumah di Mutiara Homes, Mutiara Damansara antara 11.30 malam pada 13 Jun 2018 dan 4 pagi. hari berikutnya.
Pada 14 Feb lepas, pihak pendakwaan menutup kes mereka selepas memanggil 57 saksi termasuk abang dan kakak si mati, Dr Abdul Aziz, Dr Malek Reedzwan dan Che Elainee; Pengarah Jabatan Bomba Kuala Lumpur Edwin Galan Anak Teruki; Pegawai Forensik Patologi Hospital Kuala Lumpur Dr Siew Sheue Feng; serta pengawal keselamatan kediaman si mati Raju Kumar Pandit.
Perbicaraan tersebut bermula pada 6 September 2019.
Sementara itu, menurut Bernama Ab Karim berkata mahkamah mendapati bahawa keadaan tidak menunjukkan pelakuan tertuduh dan dua kanak-kanak itu (kini berumur 19 dan 16 tahun) mendatangkan kecederaan sehingga menyebabkan kematian mangsa.
Katanya pihak pendakwaan juga gagal membuktikan pada masa yang dikatakan dalam pertuduhan berlakunya pembunuhan.
“Mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh (Samirah) dan kanak-kanak 1 dan kanak-kanak 2. Oleh itu tertuduh, kanak-kanak 1 dan kanak-kanak 2 dilepas dan dibebaskan atas tuduhan membunuh,” katanya.