Kes bicara pinda audit 1MDB Najib ditangguh, peguam di London

Perbicaraan kes pindaan laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan Datuk Seri Najib Razak ditangguhkan lagi hari ini, ia susulan peguamnya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berada di London dan akan pulang esok.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melapangkan tarikh perbicaraan perbicaraan audit 1MDB yang dihadapi bekas Perdana Menteri itu bermula hari ini sehingga Khamis memandangkan Shafee perlu menjalani kuarantin wajib selepas tiba dari London nanti.

Pasukan peguam Najib dan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy mengesahkan penangguhan kes perbicaraan berhubung pindaan audit tersebut.

Untuk rekod, Shafee sebelum dilaporkan bertemu bakal peguam Diraja United Kingdom (QC) yang akan mewakili Najib dalam rayuannya untuk membatalkan sabitan dalam kes rasuah SRC International Sdn Bhd (SRC).

Rahmat Hazlan berkata Shafee dijangka tiba di Malaysia esok dan masih perlu menjalani kuarantin selama lima hari, bermula esok.

Selain itu, tarikh perbicaraan juga dilapangkan minggu ini berikutan peguam Arul Kanda, N Sivananthan, mempunyai urusan mahkamah lain untuk diselesaikan.

Ketika dihubungi, Sivananthan serta Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam mengesahkan tarikh prosiding minggu ini dilapangkan.

Perbicaraan di hadapan hakim Mohamed Zaini Mazlan dimaklukan juga ditetapkan untuk disambung semula pada 28 Mac.

Najib dan Arul Kanda dilihat berada di galeri awam Mahkamah Tinggi, ketika pasukan peguam dan pendakwa raya menetapkan tarikh perbicaraan seterusnya dengan jurubahasa mahkamah.

Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan kepada laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan itu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Pihak pendakwaan berhujah keputusan untuk melakukan pindaan itu dibuat semasa mesyuarat pada 24 Feb 2016, di pejabat Ketua Setiausaha Negara ketika itu, Tan Sri Ali Hamsa.

Pindaan itu didakwa dilakukan bagi mengeluarkan atau mengubah bahagian tertentu dalam laporan audit 1MDB, termasuk menggugurkan isu kehadiran Low Taek Jho (Jho Low) dalam mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB.

BERITA BERKAIT
POPULAR