Kes baharu turun, Selangor kembali catat jangkitan tertinggi

Jumlah jangkitan Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi turun sedikit, namun beberapa negeri mencatatkan lonjakan ketara dengan Selangor kini kembali menjadi penyumbang terbanyak.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam tempoh itu sebanyak 14,990 jangkitan baharu dilaporkan berbanding 15,759 kes direkodkan dalam tempoh sama semalam.

Menurutnya, angka itu menjadikan kumulatif kes sejak awal pandemik Covid-19 di negara ini Mac tahun lalu kepada lebih 2.14 juta kes.

Berdasarkan statistik dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini, lapan negeri merekodkan peningkatan ketara jangkitan Covid-19.

Selangor mencatat 2,414 kes hari ini berbanding 1,934 kes semalam; Kelantan (1,573 kes hari ini, 1338 semalam); Perak (1,490 hari ini, 1,184 semalam); Kedah (1,007 hari ini, 786 semalam); Terengganu (852 hari ini, 592 semalam); Melaka (313 hari ini, 264 semalam); Negeri Sembilan (170 hari ini, 127 semalam); dan Perlis (97 hari ini, 23 semalam).

Jangkitan positif di Sarawak pula turun mendadak daripada 3,732 kes yang direkodkan semalam, kepada 1,712 hari ini.

Semalam, 12 negeri dan wilayah mencatat peningkatan jangkitan baharu iaitu Sarawak, Johor, Selangor, Pulau Pinang, Kelantan, Sabah, Perak, Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan, Putrajaya, dan Labuan.

BERITA BERKAIT
POPULAR