Kes baharu turun lagi tapi semakin ramai kanak-kanak dijangkiti Covid

Jumlah jangkitan harian Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam semalam (13 Mac 2022), turun lagi berbanding Sabtu, menurut statistik terbaharu Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

Data laman sesawang CovidNOW yang dikemas kini tengah malam tadi menunjukkan dalam tempoh itu sebanyak 22,535 jangkitan baharu direkodkan, turun 3,715 kes berbanding 26,250 yang dicatat pada Sabtu.

Jumlah itu menjadikan kumulatif positif sejak awal 2020 lalu hingga semalam sebanyak 3,823,571 kes – ketiga tertinggi dalam kalangan negara-negara ASEAN selepas Indonesia dan Filipina.

Seramai 3,468,888 pesakit juga disahkan sembuh, manakala 33,807 kes kematian dilaporkan, dan 320,876 kes masih aktif, turun sedikit berbanding 317,968 kes pada Sabtu.

Daripada jumlah kes aktif itu seramai 309,214 pesakit menjalani kuarantin di rumah, turun berbanding 311,946 pesakit pada Sabtu; manakala 2,574 lagi ditempatkan di PKRC (2,780 pada Sabtu).

Seramai 8,704 pesakit lagi dimasukkan ke hospital, meningkat sedikit berbanding 8,691 pada Sabtu, dan 384 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU), naik berbanding 367 pesakit pada Sabtu, dengan 222 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan (211 pada Sabtu).

Statistik CovidNOW juga menunjukkan lima negeri dan Wilayah Persekutuan mencatat peningkatan jangkitan harian semalam, dengan didahului Kedah sebanyak 2,332 kes berbanding 2,292 kes pada Sabtu.

Jumlah itu menjadikan kumulatif positif Covid-19 di Kedah sebanyak 268,854 kes, dengan 236,533 pesakit telah sembuh, 2,406 kes kematian dan 29,915 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu seramai 29,189 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 127 ditempatkan di PKRC; 560 dimasukkan ke hospital; dan 39 pesakit dirawat di ICU, dengan 17 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga 12 Mac seramai 1,579,997 populasi di Kedah telah lengkap divaksinasi; 1,649,220 menerima dos pertama, dan 694,073 menerima dos penggalak.

Sementara itu, Negeri Sembilan turut mencatat peningkatan jangkitan harian apabila merekodkan 1,950 kes semalam berbanding 1,786 kes pada Sabtu, diikuti Terengganu (1,039 kes baharu, 881 Sabtu); Sabah (845 kes baharu, 796 Sabtu); dan Labuan (133 kes baharu, 125 Sabtu).

Menurut statistik CovidNOW, dalam tempoh minggu ini sahaja sebanyak 205,081 jangkitan positif Covid-19 dilaporkan.

Daripada jumlah itu, 55,306 kes melibatkan individu berusia 18 hingga 29 tahun, diikuti 49,072 kes (30-39 tahun); 28,107 kes (40-49 tahun); dan 18,739 kes (50-59 tahun).

Sebanyak 12,706 kes pula melibatkan kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun; 12,608 kes (60-69 tahun); 11,894 kes (0-4 tahun); 8,422 kes (12-17 tahun); 5,955 (70-79 tahun); dan 2,272 (80 tahun ke atas).

Data jangkitan Covid-19.

BERITA BERKAIT
POPULAR