Kes baharu turun bawah 4,000

Jumlah jangkitan harian Covid-19 dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi turun kepada 3,900 kes berbanding 4,097 yang direkodkan dalam tempoh sama semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah terbaharu itu menjadikan kumulatif positif sejak awal tahun lalu sehingga hari ini sebanyak 2,703,149 kes.

Menurutnya sehingga semalam seramai 2,610,610 pesakit dilaporkan telah sembuh, manakala jumlah kematian mencecah 30,956 kes, termasuk 6,266 pesakit yang meninggal dunia sebelum menerima rawatan di hospital atau dikategorikan kes ‘brought in death’ (BID).

Katanya, sehingga semalam juga 57,674 kes masih aktif dengan 47,600 pesakit kini menjalani kuarantin di rumah, dengan 5,280 ditempatkan di PKRC; 4,412 pesakit dimasukkan ke hospital dan 382 dirawat di unit rawatan rapi, dengan 201 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian semalam untuk seluruh negara adalah 0.93.

Berdasarkan data yang dikongsi beliau, enam negeri merekodkan kadar kebolehjangkitan melepasi nilai Rt 1.00.

Negeri Sembilan mencatat Rt 1.02; diikuti masing-masing Rt 1.01 bagi Melaka dan Pahang, manakala Pulau Pinang, Labuan dan Perlis mencatat Rt 1.00. Negeri-negeri lain merekodkan nilai Rt antara 0.76 hingga 0.98.

Untuk rekod, nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus iaitu berapa ramai individu boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

Menurut pakar kesihatan, nilai Rt berada pada tahap membimbangkan apabila ia melepasi nilai 1.0 dengan lebih ramai individu berpotensi untuk dijangkiti wabak berkenaan.

BERITA BERKAIT
POPULAR