
Pecahan kes Covid-19 mengikut negeri-negeri pada 6 Mac 2022.
Jangkitan harian Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam semalam (6 Mac 2022) turun semula di bawah 30,000 kes setelah merekodkan jumlah tertinggi tiga hari berturut-turut bermula 3 Mac lalu.
Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan, dalam tempoh 24 jam semalam, sebanyak 27,435 jangkitan baharu direkodkan, berbanding jumlah tertinggi sejak wabak Covid-19 melanda negara awal 2020 lalu, sebanyak 33,406 kes yang dicatat pada Sabtu (5 Mac) .
Sejak tiga hari lalu, negara memecah rekod jangkitan harian bermula 3 Mac sebanyak 32,467 kes berbanding 27,500 pada 2 Mac, sebelum melojak kepada 33,209 kes pada 4 Mac.
Jumlah jangkitan harian baharu itu menjadikan kumulatif positif sebanyak 3,622,607 kes – kekal di tangga keempat tertinggi dalam kalangan negara-negara ASEAN selepas Indonesia, Filipina dan Thailand.
Menurut statistik laman sesawang CovidNOW kendalian KKM yang dikemas kini tengah malam tadi, daripada jumlah kumulatif positif itu seramai 3,281,128 pesakit telah sembuh, 33,228 kes kematian dilaporkan, dan 308,251 kes masih aktif, turun berbanding 305,297 kes pada Sabtu.
Daripada jumlah kes aktif itu seramai 295,704 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 3,510 ditempatkan di PKRC; 8,658 dimasukkan ke hospital; dan 379 pesakit lagi dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 216 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.
Statistik CovidNOW juga menunjukkan hanya tiga negeri sahaja mencatat peningkatan kes harian semalam, namun Selangor kekal merekodkan jumlah tertinggi sebanyak 7,012 kes, berbanding 9,651 kes pada Sabtu.
Tiga negeri dan Wilayah Persekutuan berkenaan ialah Pahang yang mencatat 1,844 kes baharu semalam, berbanding 1,619 kes pada Sabtu, diikuti Terengganu (918 kes baharu, 856 Sabtu); dan Putrajaya (171 kes baharu, 132 Sabtu).
Pahang kini merekodkan kumulatif positif sebanyak 139,756 kes, dengan 121,103 daripadanya telah pulih, 862 kes kematian, dan 17,791 kes masih aktif.
Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 17,024 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 295 ditempatkan di PKRC; 454 dimasukkan ke hospital; dan 18 pesakit dirawat di ICU, dengan sembilan daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.