Kes baharu turun bawah 15,000

Jangkitan harian Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam pada Sabtu (2 April 2022) turun semula kepada 14,692 kes berbanding 17,476 yang dicatat pada Jumaat

Menerusi laman sesawang CovidNOW kendalian Kementerian Kesihatan (KKM) yang dikemas kini jam 8.20 pagi ini, keseluruhannya sejak kes pertama positif Covid-19 dilaporkan pada Januari 2020 lalu negara mencatat 4,234,087 kumulatif kes positif.

Jumlah itu meletakkan Malaysia pada kedudukan ketiga tertinggi berbanding negara-negara ASEAN lain selepas Vietnam dan Indonesia.

Seramai 3,997,786 pesakit telah pulih, 35,069 kematian dilaporkan dan 201,232 kes masih aktif, termasuk 196,491 individu positif Covid-19 tahap rendah atau tidak bergejala kini menjalani kuarantin di rumah.

Sejumlah 555 pesakit lagi kini ditempatkan di PKRC; 3,925 dimasukkan ke hospital; dan 261 pesakit kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 153 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Data juga menunjukkan lima negeri dan Wilayah Persekutuan mencatat peningkatan jangkitan harian semalam membabitkan Kuala Lumpur, Johor, Pahang, Putrajaya dan Perlis.

Kuala Lumpur merekodkan 1,311 jangkitan baharu semalam, meningkat berbanding 1,191 kes pada Jumaat, menjadikan kumulatif positif sebanyak 330,204 kes, dengan 310,169 pesakit telah sembuh, 2,801 kematian dilaporkan dan 17,234 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, 16,790 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 120 ditempatkan di PKRC; 304 dimasukkan ke hospital; dan 20 dirawat di ICU, dengan 11 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sementara itu, Johor pula mencatat 664 kes baharu, berbanding 623 pada Jumaat, diikuti Pahang (535 kes baharu, 496 Jumaat); Putrajaya (68 kes baharu, 56 Jumaat); dan Perlis (45 kes baharu, 32 Jumaat).

BERITA BERKAIT
POPULAR