Kes baharu turun, 30,831 pesakit Covid-19 meninggal sejak tahun lalu

Sebanyak 4,626 kes harian baharu Covid-19 dilaporkan di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, turun berbanding 5,058 kes semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah itu menjadikan kumulatif kes positif sejak awal tahun lalu sehingga semalam meningkat kepada 2,688,149 kes.

Daripada jumlah kes positif itu, seramai 2,591,819 pesakit telah pulih, manakala 30,831 pesakit meninggal dunia.

Lima negeri kekal merekodkan jumlah kes positif tertinggi melebihi 200,000 iaitu Selangor sebanyak 767,296 kes; diikuti Johor (236,693 kes); Sabah (236,638 kes); Sarawak (251,568 kes); dan Kuala Lumpur (205,992 kes).

Sementara itu beliau memaklumkan kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian semalam untuk seluruh negara kekal pada 0.97.

Lima negeri mencatat Rt melebihi 1.00, manakala negeri-negeri lain merekodkan Rt antara 0.72 dan 0.99.

Negeri Sembilan mencatat Rt 1.06 diikuti Perlis (1.05); Melaka (1.03); Pahang (1.02); dan Terengganu (1.00).

Untuk rekod, nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus iaitu berapa ramai individu boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

Menurut pakar kesihatan, nilai Rt berada pada tahap membimbangkan apabila ia melepasi nilai 1.0 dengan lebih ramai individu berpotensi untuk dijangkiti wabak berkenaan.

BERITA BERKAIT
POPULAR