
Jumlah jangkitan baharu Covid-19 di seluruh negara semalam, 28 Mei 2022.
Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan sebanyak 1,645 jangkitan baharu Covid-19 dilaporkan di seluruh negara dalam tempoh 24 jam semalam (Sabtu, 28 Mei 2022), termasuk satu kes import.
Jumlah itu turun 232 kes berbanding Jumaat yang merekodkan 1,877 kes, menjadikan keseluruhan kumulatif positif sejak individu pertama dikesan dijangkiti Covid-19 di negara ini pada 25 Januari 2020 kini mencecah 4,502,579 kes.
Daripada jumlah kes positif itu, 4,441,701 pesakit telah sembuh dan 25,218 kes masih aktif, termasuk 24,238 pesakit yang kini masih menjalani kuarantin di rumah.
Enam belas pesakit kini masih ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu (PKRC); 930 dirawat di hospital; dan 34 pesakit dimasukkan ke unit rawatan rapi, dengan 17 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.
Daripada 1,645 jangkitan positif semalam, 1,112 kes melibatkan individu yang telah menerima dos penggalak vaksin Covid-19; diikuti 363 kes mereka yang menerima dua dos; 148 kes (tidak divaksinasi); dan 22 kes (belum lengkap divaksinasi).
Berdasarkan rekod laman sesawang Github KKM sejak beberapa bulan lalu, lebih ramai individu dewasa yang telah menerima suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 dijangkiti virus SARS-CoV-2 berbanding mereka yang tidak menerima vaksinasi.
Sementara itu, dua lagi pesakit meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 semalam, termasuk satu kes kematian di luar fasiliti kesihatan sebelum mayat dibawa ke hospital atau kes ‘brought in death’ (BID).
Dua kes yang dilaporkan itu masing-masing direkodkan di Kedah dan Selangor, menjadikan kumulatif kematian sejak 17 Mac 2020 hingga semalam, sebanyak 35,660 kes.
Berikut adalah jumlah kes harian dan kumulatif positif sehingga semalam bagi setiap negeri sejak 2020 lalu:
- Selangor – 740 (1,364,367);
- Johor – 52 (384,210);
- Sabah – 57 (371,978);
- Kuala Lumpur – 282 (356,652);
- Sarawak – 41 (306,550);
- Kedah – 41 (300,248);
- Pulau Pinang – 122 (281,070);
- Kelantan – 6 (247,833);
- Negeri Sembilan – 95 (204,702);
- Perak – 78 (203,476);
- Pahang – 21 (171,665);
- Terengganu – 6 (126,205);
- Melaka – 68 (124,242);
- Labuan – 0 (21,417);
- Putrajaya – 31 (20,538); dan
- Perlis – 5 (17,416).