Kes baharu terus meningkat, Negeri Sembilan lepasi 1,500 jangkitan

Data 14 Julai 2021

Jumlah jangkitan baharu Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi mencatatkan rekod tertinggi sekali lagi apabila 11,618 kes dilaporkan menjadikan kumulatif sebanyak 867,567 kes.

Semalam negara merekodkan 11,079 kes baharu iaitu yang tertinggi sejak pandemik Covid-19 melanda negara Mac tahun lalu. Kes kematian sebanyak 125 pesakit juga adalah yang tertinggi setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata negeri dan wilayah di sekitar Lembah Klang terus merekodkan kes tertinggi dengan Selangor mencatatkan 5,051 kes diikuti Kuala Lumpur (1,749), dan Putrajaya (40).

Dalam tempoh itu sembilan negeri merekodkan peningkatan dengan Negeri Sembilan melaporkan jangkitan melepasi 1,500 kes, manakala kes di Kedah turut meningkat mendadak. Negeri lain yang menunjukkan peningkatan ialah Sabah, Perlis, Pahang, Melaka, Kelantan, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Semalam, Selangor merekodkan angka tertinggi sebanyak 5,263 kes, Kuala Lumpur (1,521) dan Putrajaya (77).

Negeri Sembilan dan Kedah antara negeri di mana kes positif baharu naik mendadak di mana masing-masing merekodkan 1,033 kes dan 497 kes, semalam.

Peningkatan kes jangkitan Covid-19 yang berlaku di Lembah Klang dikatakan berpunca daripada varian Delta yang dikesan merebak dengan pantas di kalangan orang ramai ketika ini, selain ujian saringan bersasar di kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

Dr Noor Hisham berkata sejak 1 Julai hingga semalam (13 Julai 2021) sebanyak 76 kes varian baharu dikenal pasti di seluruh negara.

“Ia membabitkan 48 kes varian Beta, Delta (27 kes), dan Theta (satu kes). Hanya satu kes varian Beta melibatkan kes import manakala varian selebihnya adalah jangkitan tempatan.

“Sehingga 13 Julai 2021 secara kumulatif, sebanyak 293 kes varian yang membimbangkan dan varian yang perli diberi perhatian dilaporkan di seluruh negara,” katanya.

 

No photo description available.

POPULAR