
Data sehingga 14 Januari 2023.
Jangkitan baharu Covid-19 di seluruh negara mencatat angka terendah sejak Oktober 2020 lalu, apabila dalam tempoh 24 jam semalam (Sabtu, 14 Januari 2023) jumlahnya turun kepada 287 kes, berbanding 320 pada Jumaat.
Menurut laman sesawang Github Kementerian Kesihatan (KKM) jumlah sama pernah dicatat ialah pada 2 Oktober 2020, juga sebanyak 287 kes, sebelum virus SARS-CoV-2 mula merebak dengan pantas.
Data KKM yang dikemas kini tengah malam tadi, juga menunjukkan jangkitan semalam turut melibatkan 24 kanak-kanak, naik empat kes berbanding 20 yang direkodkan pada Jumaat.
Ia membabitkan 15 kes kanak-kanak berusia 0 hingga empat tahun, dan lima hingga 11 tahun (sembilan kes), lapor KKM.
Daripada jumlah jangkitan baharu semalam, 188 kes melibatkan individu yang telah menerima suntikan vaksin dos penggalak, diikuti 63 (individu yang lengkap divaksinasi); tiga kes melibatkan individu belum lengkap divaksinasi; dan 33 kes (individu tidak divaksinasi).
Data KKMNOW pula menunjukkan jumlah terbaharu itu menjadikan kumulatif positif sejak 25 Januari 2020 sebanyak 5,032,433 dengan 4,984,891 pesakit telah sembuh, termasuk 590 yang pulih semalam.
KKM juga memaklumkan sehingga semalam 10,634 kes masih aktif, turun berbanding 10,937 yang dilaporkan pada Jumaat, manakala 10,175 pesakit masih menjalani kuarantin di rumah, berbanding 10,467 pada Jumaat. Tiada pesakit yang ditempatkan di PKRC.
Menurut KKM, jumlah pesakit yang menerima rawatan di hospital turun lagi kepada 439 kes, berbanding 453 yang dicatat pada Jumaat.
Seramai 20 pesakit dimasukkan ke unit rawatan rapi, naik sedikit berbanding 17 yang dicatat pada Jumaat, dengan tujuh daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan (lima pada Jumaat).
Berikut adalah pecahan kes baharu semalam mengikut negeri dan wilayah, serta kumulatif kes positif:
- Selangor – 103 (1,546,917);
- Kuala Lumpur – 47 (467,271);
- Sabah – 8 (406,716);
- Johor – 17 (398,024);
- Sarawak – 18 (324,087);
- Kedah – 10 (318,381);
- Pulau Pinang – 9 (307,255);
- Kelantan – 1 (259,979);
- Perak – 21 (238,758);
- Negeri Sembilan – 11 (230,783);
- Pahang – 6 (182,541);
- Melaka – 17 (144,643);
- Terengganu – 9 (132,853);
- Putrajaya – 9 (32,298);
- Labuan – 0 (22,947); dan
- Perlis – 1 (18,980).
Sementara itu tiada pesakit meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 dalam tempoh 24 jam semalam.
Ini menjadikan kumulatif kematian sejak 17 Mac 2020 di seluruh negara kekal seramai 36,908 mangsa, termasuk 7,861 kes kematian di luar fasiliti kesihatan atau ‘brought in death’ (BID).