Kes baharu naik tapi tak lebih 4,000

Jumlah jangkitan baharu Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi naik sedikit berbanding 3,140 kes yang dilaporkan semalam, tetapi tidak melebihi angka 4,000.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam tempoh itu sebanyak 3,519 jangkitan baharu dilaporkan di seluruh negara.

Angka itu menjadikan kumulatif positif sebanyak 2,728,203 kes, dengan sehingga semalam seramai 2,642,469 pesakit sembuh, dan 31,192 kes kematian.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan memaklumkan sehingga semalam terdapat 51,023 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, 42,873 pesakit menjalani kuarantin di rumah, 4,069 ditempatkan di PKRC; 3,728 dimasukkan ke hospital; dan 353 pesakit dirawat di ICU, dengan 189 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sementara itu, Dr Noor Hisham memaklumkan kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian semalam untuk seluruh negara adalah pada nilai 0.90.

Pulau Pinang dan Pahang masing-masing kekal dengan nilai Rt 1.00, sementara negeri lain antara 0.75 dan 0.99.

Untuk rekod, nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus iaitu berapa ramai individu boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

Menurut pakar kesihatan, nilai Rt berada pada tahap membimbangkan apabila ia melepasi nilai 1.0 dengan lebih ramai individu berpotensi untuk dijangkiti wabak berkenaan.

BERITA BERKAIT
POPULAR