Kes baharu naik semula dua hari berturut-turut, Sarawak tertinggi

Jumlah jangkitan Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi naik lagi dua hari berturut-turut setelah merekodkan angka terendah pada 4 Oktober dengan mencatat 8,075 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam tempoh 24 jam itu 9,380 jangkitan baharu direkodkan berbanding 8,817 kes semalam.

Beliau berkata angka itu menjadikan keseluruhan kes sejak awal tahun lalu hingga hari ini meningkat kepada 2,303,837 kes.

Berdasarkan statistik yang dikongsi beliau, lapan negeri merekodkan peningkatan jangkitan hari ini dengan Sarawak mencatat 1,505 kes berbanding 1,361 kes semalam, dan Kelantan (1,170 kes hari ini, 1,063 semalam).

Jangkitan Covid-19 di Johor melonjak semula kepada 1,105 kes berbanding 886 yang dicatatkan semalam, diikuti Terengganu (704 kes hari ini, 356 semalam); Perak (629 hari ini, 473 semalam); Pulau Pinang (623 hari ini, 595 semalam); Negeri Sembilan (191 hari ini, 122 semalam); dan Labuan (8 hari ini, 3 semalam).

Sementara itu, beliau turut mengingatkan walaupun trend Covid-19 di Malaysia kini menunjukkan penurunan, ia bukan alasan kepada orang ramai untuk melonggarkan langkah-langkah kesihatan awam.

“Bagi pihak KKM, tahap kesiapsiagaan akan terus dipertingkatkan kerana pandemik ini bukanlah yang terakhir yang akan kita hadapi.

“Tetapi pengalaman ini mengajar kita untuk terus bersedia dan memperkukuhkan sistem penjagaan kesihatan bagi menghadapi ancaman wabak baharu pada masa hadapan,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR