Kes baharu naik kepada 3,997

Jangkitan Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi naik 314 kes, lapor Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam tempoh itu sebanyak 3,997 kes baharu dilaporkan berbanding 3,683 kes yang dicatat semalam.

Beliau berkata angka terbaharu itu menjadikan kumulatif kes positif sejak awal tahun lalu hingga hari ini sebanyak 2,754,513 kes, dengan sehingga semalam 2,677,406 pesakit sembuh, 31,428 kematian dan 41,682 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 34,781 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 3,065 ditempatkan di PKRC; 3,548 dimasukkan ke hospital; dan 288 pesakit lagi dirawat di ICU dengan 162 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sementara itu, kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian untuk seluruh negara naik semula kepada 0.95 berbanding 0.93 pada Selasa, kata Dr Noor Hisham.

Dua negeri merekodkan nilai Rt melebihi 1.00 iaitu Kelantan 1.01 dan Terengganu 1.00, manakala negeri-negeri lain antara 0.71dan 0.97.

Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan virus iaitu berapa ramai individu boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

Menurut pakar kesihatan, nilai Rt berada pada tahap membimbangkan apabila ia melepasi nilai 1.00 dengan lebih ramai individu berpotensi untuk dijangkiti.

BERITA BERKAIT
POPULAR