Kes baharu naik, kekal bawah 3,000

Jumlah jangkitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi di seluruh negara naik sedikit berbanding semalam, namun masih di bawah paras 3,000 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dalam tempoh itu 2,842 kes berbanding 2,690 kes yang dilaporkan dalam tempoh sama semalam.

Beliau berkata angkat itu menjadikan kumulatif positif sejak awal 2020 lalu hingga hari ini sebanyak 2,769,886 kes.

Sehingga semalam seramai 2,695,751 pesakit Covid-19 telah sembuh, 31,560 kes kematian dan 39,733 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, 32, 549 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 3,565 ditempatkan di PKRC; 3,354 dimasukkan ke hospital; dan 265 pesakit dirawat di ICU, dengan 147 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sementara itu, kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian semalam untuk seluruh negara adalah pada nilai 0.99, masih di bawah nilai yang dianggap membimbangkan jika melepasi 1.00.

Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan virus iaitu berapa ramai individu boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

Bagaimanapun, Johor dan Kelantan adalah pada nilai Rt 1.00, manakala negeri-negeri lain sebanyak 0.75 hingga 0.98.

BERITA BERKAIT
POPULAR