Kes baharu naik 4,000 lebih, negara alami gelombang pasang surut kes

Jumlah jangkitan harian Covid-19 di seluruh negara sekarang ini mengalami ‘gelombang pasang surut’ apabila sejak beberapa hari lalu kes baharu mengalami naik dan turun.

Semalam, sebanyak 3,900 jangkitan baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari, namun hari ini naik semula kepada 4,262 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata angka terbaharu itu menjadikan kumulatif kes positif sejak awal tahun lalu meningkat kepada 2,707,402 kes.

Beliau berkata daripada jumlah kes positif itu, sehingga semalam seramai 2,615,162 pesakit telah sembuh, manakala 30,989 pesakit meninggal dunia.

Beliau juga memaklumkan kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian semalam untuk seluruh negara adalah 0.92.

Mengikut data dikongsi beliau, empat negeri mencatat nilai Rt melebihi 1.00, dengan Negeri Sembilan mencatat kadar kebolehjangkitan sebanyak Rt 1.02.

Pahang, Pulau Pinang dan Melaka pula mencatat Rt 1.00, sementara negeri-negeri lain antara 0.74 hingga 0.99.

Untuk rekod, nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus iaitu berapa ramai individu boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

Menurut pakar kesihatan, nilai Rt berada pada tahap membimbangkan apabila ia melepasi nilai 1.0 dengan lebih ramai individu berpotensi untuk dijangkiti wabak berkenaan.

BERITA BERKAIT
POPULAR