Kes baharu melonjak tinggi

Jumlah jangkitan Covid-19 di seluruh Malaysia dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi melonjak lagi ke paras tertinggi sejak wabak itu melanda negara awal tahun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam tempoh itu 17,786 kes baharu direkodkan di seluruh negara menjadikan keseluruhan kes sejak awal tahun lalu kepada 1,113,272 kes.

Katanya Selangor, Kuala Lumpur, Sabah, Kedah dan Johor terus mencatat angka tertinggi kes baharu.

Sementara kes jangkitan baharu di Perlis pula meningkat dua hari berturut-turut daripada 13 kes semalam kepada 16 kes hari ini. Perlis sebelum ini pernah tidak mencatatkan kes baharu Covid-19.

Berdasarkan data yang diterbitkan Kementerian Kesihatan hari ini 11 negeri dan Wilayah Persekutuan merekodkan peningkatan kes.

Terengganu mencatatkan peningkatan tertinggi apabila merekodkan 883 kes dalam tempoh 24 jam lalu berbanding 258 kes semalam, sementara kes di Kedah, Johor, Pahang, Melaka dan Pulau Pinang turut melonjak.

BERITA BERKAIT
POPULAR