Kes baharu melonjak, kedua tertinggi sejak Ogos 2021

Jumlah jangkitan positif Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi meningkat lagi ke tahap tertinggi sejak Ogos tahun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam tempoh 24 jam itu sebanyak 22,133 kes baharu dilaporkan, berbanding 21,315 kes semalam.

Jumlah itu katanya, menjadikan kumulatif positif sejak awal 2020 lalu hingga hari ini mencecah 3,083,683 kes.

Kali terakhir negara merekodkan kes harian tertinggi melebihi 22,000 ialah pada 12 Februari lalu sebanyak 22,802 kes, dan 28 Ogos 2021 iaitu sebanyak 22,597 kes.

Dr Noor Hisham berkata daripada kes harian yang dilaporkan hari ini, 146 kes atau 0.66 peratus melibatkan pesakit kategori 3, 4, dan 5; dan 21,987 kes (99.34 peratus) kategori 1 dan 2. Berikut adalah pecahan kategori jangkitan hari ini:

  • Kategori 1 : 5,831 kes (26.34%);
  • Kategori 2 : 16,156 kes (73.0%);
  • Kategori 3 : 102 kes (0.46%);
  • Kategori 4 : 24 kes (0.11%); dan
  • Kategori 5 : 20 kes (0.09%).

Sementara itu, sehingga semalam seramai 2,860,954 pesakit telah sembuh, dan 168,447 kes masih aktif, meningkat 12,774 kes berbanding 155,673 yang dicatat pada Ahad, dan 32,149 kes kematian.

Daripada jumlah kes aktif itu seramai 155,866 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 5,963 ditempatkan di PKRC; 6,419 dimasukkan ke hospital; dan 199 pesakit dirawat di ICU, dengan 115 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian semalam untuk seluruh negara adalah pada nilai 1.38, turun lagi berbanding 1.43 semalam.

Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan virus iaitu berapa ramai individu boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

Menurut pakar kesihatan, nilai Rt berada pada tahap membimbangkan apabila melepasi 1.00 dengan lebih ramai individu berpotensi untuk dijangkiti.

Sebagai contoh, jika nilai Rt adalah 1.5, ia bererti satu kes positif boleh menyebarkannya kepada seorang atau dua orang yang lain.

Bagaimanapun, berdasarkan statistik yang dikongsi Dr Noor Hisham, semua negeri dan Wilayah Persekutuan kekal merekodkan nilai Rt melebihi 1.00 dengan Labuan mencatat Rt 1.94, meningkat berbanding 1.90 semalam.

Sementara itu, kadar kebolehjangkitan bagi Sabah dan Sarawak pula adalah Rt 1.56, diikuti Pulau Pinang 1.43; Perlis 1.41; Kedah 1.40; Pahang 1.36; Terengganu 1.35; Kelantan 1.34; Johor 1.33; Selangor 1.32; Negeri Sembilan 1.29; Putrajaya 1.28; Perak 1.26; dan masing-masing 1.23 bagi Melaka serta Kuala Lumpur.

BERITA BERKAIT
POPULAR